Lelaki Maut, Triton Dipandu Terbabas, Langgar Pokok di Jalan Tuaran Bypass

Lelaki Maut, Triton Dipandu Terbabas, Langgar Pokok di Jalan Tuaran Bypass

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 44 tahun maut selepas kenderaan Mitsubishi Triton dipandunya terbabas sendiri sebelum melanggar sebatang pokok di hadapan CS Chan Furniture, Jalan Tuaran Bypass, Tuaran, awal pagi Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.55 tengah malam.

Menurutnya, lima anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Lintas digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 1.04 pagi.

“Setibanya pasukan di lokasi, didapati benar berlaku kemalangan melibatkan sebuah Mitsubishi Triton yang terbabas sendiri lalu melanggar sebatang pokok.

“Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu kenderaan berkenaan yang tersepit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noor Sherriyana berkata, anggota bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan pemeriksaan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati lelaki berusia 44 tahun itu telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi yang diketuai PBK I Selvister Yamud itu turut melibatkan dua anggota KKM dan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi dilaporkan terkawal pada jam 1.30 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.05 pagi selepas pemeriksaan akhir dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.