KOTA KINABALU: “Amat menyentuh hati apabila menerima ucapan Hari Raya Aidiladha daripada rakan-rakan berlainan agama,” kata bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Beliau berkata, amalan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan budaya terus menjadi cara hidup di Sabah tanpa ruang untuk prejudis.
Menurutnya, sikap bertukar ucapan dan doa sempena pelbagai perayaan mencerminkan persahabatan tulen serta semangat perpaduan yang kukuh.
Salleh turut menegaskan bahawa menghormati orang lain tidak melemahkan pegangan sendiri, sebaliknya menunjukkan kematangan masyarakat.
“Selamat Hari Raya Aidiladha. Semoga semangat pengorbanan terus mengukuhkan ikatan perpaduan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.






