KOTA KINABALU, SABAH – Petani dan usahawan Sabah disaran menanam nanas ‘madu kaca’ bagi meraih keuntungan hampir suku juta ringgit dalam hasil tuaian daripada tanah berkeluasan hanya satu ekar.
Nanas termanis antara 12 varieti dalam negara itu dikatakan mampu mengubah nasib petani negeri ini kerana kian menjadi pilihan pasaran antarabangsa Asia seperti negara China, Korea dan Hong Kong.
Singhco Global Sdn Bhd menerusi anak syarikatnya AJO Best Borneo meluaskan peluang tersebut kepada penduduk di Sabah yang secara langsung dapat meningkatkan tahap sosio ekonomi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Singhco Global, Rusli Alias, sehingga 22,000 sulur nanas boleh ditanam pada hanya satu ekar tanah lapang.
Sulur nanas memerlukan 14 sehingga 18 bulan sehingga matang dan sedia untuk dituai.
“Penyata Pendapatan Keberhasilan Tanaman Negara menyatakan buah nanas duduk pada tangga kedua selepas durian ‘Musang King’ barulah diikuti kelapa sawit, getah dan sebagainya…
“Aktiviti hiliran buah nanas sangat bagus dan selain daripada dijual di pasar basah tempatan dan pasaran antarabangsa, lambakan kulit nanas pun boleh dijadikan sebagai makanan kepada industri ternakan,” katanya.
Penanaman nanas dilihat sebagai produk mampan dan sifar sisa di mana pokoknya masih mampu mengeluarkan sulur meskipun buahnya sudah dituai. Menurut Rusli, sulur itu juga boleh dijadikan sumber pendapatan.
Model perniagaan beliau menerima sambutan kuat daripada Sahabat (peserta) Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Sabah.
Lebih 100 peserta dijangka memulakan usaha mereka masing-masing sebelum menjelang tahun hadapan.
“Sebagai sauh perniagaan kami di Sabah, AIM juga merupakan mekanisme untuk membuka peluang kepada lebih ramai penduduk di sini untuk menembusi pasaran antarabangsa…
“Ini juga selari dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor,” katanya.
Katanya, Memorandum Perjanjian (MoA) antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang ditandatangani baru-baru ini juga membolehkan lebih banyak produk Sabah dijual menerusi Program Global Entrepreneur One Stop Centre (GLOPEC).
“Pengurusan dan penanaman akan dikendalikan sepenuhnya oleh anak Sabah manakala fungsi AJO Best hanya untuk membawa teknologi yang patut serta membantu dari segi teknikal,” katanya sambil menambah usaha itu sedang giat dilakukan pekebun kecil di seluruh Semenanjung.
Sementara itu, Pengurus Kanan AIM Wilayah Sabah, Jahinim Siman berkata, seorang petani boleh menganggarkan pendapatan sebanyak RM 200,000 setahun daripada hanya satu ekar tanah.
“Penanaman nanas ini boleh menjadikan seseorang itu jutawan jika ditanam dengan luas…
“AIM menawarkan empat (4) pakej pinjamana tanaman kontrak nanas madu kaca ‘AC-11’ dengan yang terendah bernilai RM 2000 sehingga RM 6000,” jelasnya.
Jahinim berkata kos murah dan pasaran yang terjamin menjadi penggalak untuk Sahabat AIM mencuba.
“Penggunaan modal pinjamin AIM di Sabah masih yang terendah dalam negara. Kami mengharapkan lebih ramai Sahabat dapat memasarkan konsep sebegini kepada rakan-rakan yang lain,” katanya.





