KUALA LUMPUR: Seramai 7,648 anggota barisan hadapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dilengkapi kamera badan (Body Worn Camera – BWC) dalam pelaksanaan berfasa yang bermula sejak Oktober 2024, sebagai langkah memperkukuh ketelusan dan integriti pasukan keselamatan.
Inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu melibatkan anggota yang bertugas dalam rondaan termasuk Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta Unit Polis Pelancong (UPP), bagi memastikan setiap interaksi dan operasi direkod secara profesional.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan kamera badan merupakan langkah penting dalam memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap pasukan keselamatan.
“Pelaksanaan kamera badan ini adalah langkah penting dalam memperkukuh ketelusan, integriti dan profesionalisme pasukan keselamatan kita. Ia bukan sahaja melindungi anggota penguat kuasa, malah memastikan hak rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.
Menurut data semasa, sebanyak 6,449 anggota Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) telah dilengkapi peranti tersebut dengan pengagihan meliputi semua kontinjen negeri di seluruh negara.
Antara negeri yang mencatat agihan tertinggi ialah Selangor dengan 1,328 unit, diikuti Perak (968), Johor (952), Sarawak (736) dan Sabah sebanyak 704 unit.
Pelaksanaan BWC itu bukan sahaja meningkatkan akauntabiliti operasi, malah menyediakan bukti digital yang sah bagi tujuan siasatan serta mempertingkat tahap profesionalisme anggota ketika berinteraksi dengan masyarakat.
Dalam pada itu, kerajaan turut merancang untuk menambah 10,000 unit BWC baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang akan dilengkapi dengan spesifikasi lebih canggih termasuk ketahanan bateri lebih panjang.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan KDN dalam memperkasa pendekatan penguatkuasaan pintar (Smart Enforcement) berteraskan teknologi, sekali gus memastikan keselamatan negara terus diperkukuh secara berintegriti dan berfokuskan rakyat.






