KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Perlindungan Alam Sekitar (MPAS) memainkan peranan penting dalam menasihati kerajaan negeri perkara berkaitan pelaksanaan Enakmen Perlindungan Alam Sekitar (EPAS) 2002 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (EPD).
Pengerusi MPAS, Datuk Christina Liew menegaskan demikian ketika mempengerusikan mesyuarat pertama majlis terbabit tahun ini di pejabat kementeriannya, di sini, semalam.
“Majlis juga bertanggungjawab dalam hal-hal lain berkaitan pengurusan alam sekitar dan pembangunan lestari di negeri ini termasuk Dasar Alam Sekitar Negeri yang mengandungi 83 strategi berdasarkan lima aspek iaitu tanah, udara, air, biodiversiti dan dimensi sosial.
“Setiap kementerian, jabatan dan agensi perlu proaktif dan komited dalam bekerjasama menangani isu berkaitan alam sekitar di Sabah,” katanya.
Christina, yang juga merupakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, berkata menerusi MPAS, cadangan boleh dibuat untuk menasihati kerajaan tentang cara menangani isu alam sekitar dan hala tuju bagi memastikan pembangunan mampan di Sabah.
“Sebagai contoh, persekitaran yang bersih dan sihat adalah aset yang menarik pelancong ke Sabah. Gunakan kepakaran anda dalam bidang masing-masing bagi mencari penyelesaian bersesuaian untuk masalah alam sekitar,” katanya.
Turut hadir, Pengarah EPD Vitalis Moduying, yang juga merupakan Setiausaha MPAS dan Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Mohd Yusrie Abdullah.
Antara isu yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah aktiviti pemotongan bukit, pengurusan efluen dan sisa pepejal, sisa terjadual dan kumbahan, dan kepentingan menjaga alam sekitar dalam aktiviti perlombongan.





