Filipina Fail Tuntutan Di Laut China Selatan Dengan PBB

Filipina Fail Tuntutan Di Laut China Selatan Dengan PBB

0
SHARE
Laut china selatan
Sekadar gambar hiasan ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

MANILA, FILIPINA – Filipina memfailkan tuntutan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam, ke atas pelantar benua lanjutan (ECS) di Laut China Selatan memetik sumber Reuters.

“Hari ini (semalam), kami menjamin masa depan kami dengan membuat manifestasi hak eksklusif kami untuk meneroka serta mengeksploitasi sumber asli dalam kelayakan ECS kami,” kata Penolong Setiausaha Kementerian Luar bagi Hal Ehwal Maritim dan Lautan Filipina, Marshall Louis Alferez, dalam satu kenyataan, semalam.

China telah menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk bahagian yang dituntut oleh Filipina, Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam.

Sebahagian daripada laluan air strategik itu – di mana perdagangan bernilai AS$3 trilion direkodkan setiap tahun – dipercayai kaya dengan sumber minyak, gas asli dan hidupan laut.

Pada 2016, Mahkamah Timbang Tara Tetap mendapati tuntutan menyeluruh oleh China itu tidak mempunyai asas undang-undang, namun Beijing menolak keputusan berkenaan.

Filipina telah berusaha mendaftarkan haknya terhadap ECS di Wilayah Palawan Barat yang menghadap Laut China Selatan.

Kementerian Luarnya berkata, permohonan itu yang disahkan oleh Presiden Ferdinand Marcos Jr, dibuat susulan hasil kajian teknikal serta saintifik secara komprehensif berhubung pelantar benua di Laut Filipina Barat – merujuk kepada sebahagian Laut China Selatan dalam zon ekonomi eksklusif seluas 200 batu nautika.

Menurut Filipina, ia menggunakan hak bawah Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut bagi menetapkan had luar pelantar benuanya yang mencakupi dasar laut dan tanah bawah kawasan dasar laut hingga 350 batu nautika.

Pada 2012, PBB mengesahkan Benham Rise yang terletak di luar pantai timur Filipina dan tidak menjadi pertikaian dengan China, sebagai sebahagian daripada ECS Filipina.

Setakat ini, Kedutaan China di Manila belum respons kepada permintaan untuk komen berhubung tuntutan difailkan Filipina dengan PBB itu.