KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki membunuh ibunya di sebuah pangsapuri di Relau, Pulau Pinang, semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Razlam Ab Hamid melaporkan suspek berusia 40 tahun itu dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.
Dia ditahan di kediaman itu selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian daripada abang suspek.
Suspek dilaporkan menghubungi abangnya sekitar jam 5 petang untuk memaklumkan dia telah menikam ibu mereka yang berusia 67 tahun dengan sebilah gunting, menurut Bernama.
“Berdasarkan siasatan awal, sebelum kejadian, dua anak lelaki mangsa termasuk abang suspek cuba menghubungi ibu mereka tetapi tiada jawapan.
“Bagaimanapun, mereka terkejut apabila suspek menelefon memaklumkan dia telah menikam ibu mereka menggunakan gunting dan dia telah meninggal dunia,” katanya hari ini.
Menurut Razlam, siasatan turut mendapati mangsa melawat pangsapuri milik arwah suaminya itu tiga hari seminggu dari Jumaat hingga Ahad, manakala pada hari lain dia tinggal bersama anak sulungnya di Batu Maung.
Siasatan lanjut juga mendapati suspek sebelum ini pernah mengugut untuk membunuh semua ahli keluarganya dan pernah menerima rawatan psikiatri tahun lalu.