KKM Teliti Keperluan Pemberian Vaksin TDAP Untuk Ibu Hamil

KKM Teliti Keperluan Pemberian Vaksin TDAP Untuk Ibu Hamil

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti keperluan pemberian vaksin kombinasi Tetanus- Difteria-Pertussis (TDAP) kepada ibu hamil.

Memetik sumber Berita Harian, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata ibu hamil yang menerima vaksin pertussis atau batuk kokol dapat melindungi bayi bermula dari dalam kandungan sehingga bayi melengkapkan dos primer vaksin kombinasi enam serangkai seperti Jadual Imunisasi Kebangsaan.

“Berdasarkan situasi semasa, kebanyakan kes batuk kokol di negara ini adalah dalam kalangan bayi berusia kurang dari lima bulan yang belum mencapai tahap imuniti optimum kerana belum lengkap tiga dos primer vaksin pertussis.

“Imunisasi adalah langkah pencegahan batuk kokol yang berkesan. Di negara ini, vaksin itu diberi kepada kanak-kanak secara rutin pada usia dua tahun hingga lima tahun serta 18 bulan.

“Wabak batuk kokol dalam komuniti boleh dicegah dengan memastikan liputan imunisasi sentiasa melebihi 95 peratus pada setiap masa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Batuk kokol adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria Bordetella Pertussis sehingga menyebabkan ia menjangkiti mulut, hidung dan tekak dan tersebar melalui udara ketika pesakit bersin atau batuk.

Dr Zaliha berkata, bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi lengkap adalah golongan paling berisiko tinggi dijangkiti batuk kokol.

“Batuk kokol boleh menjangkiti individu lain tanpa mengira usia terutama golongan rentan dan rendah imuniti.

“Antara gejala dijangkiti penyakit berkenaan, termasuk mengalami batuk berpanjangan dalam tempoh satu minggu hingga dua minggu serta boleh berlarutan dua bulan,” katanya.

Mengulas mengenai situasi batuk kokol di negara ini, sehingga 28 April lalu, sebanyak 132 kes dengan dua kematian dilaporkan di seluruh negara.

“Jika dibandingkan bagi tempoh yang sama iaitu sehingga 28 April pada tahun 2019, sebanyak 495 kes dicatatkan dengan penurunan sebanyak 73.3 peratus.

“Daripada 132 kes pertussis yang dilaporkan, 89 kes (67.4 peratus) adalah warganegara, manakala 43 kes (32.6 peratus) warga asing.

“Bayi bawah 12 bulan adalah kumpulan umur yang mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 67 kes (50.8 peratus), manakala kanak-kanak berusia satu tahun hingga hingga 10 tahun mencatat sebanyak 47 kes (35.6 peratus) dan selebihnya berusia 11 tahun dan ke atas,” katanya.