DEMI MASA DEPAN RAKYAT SABAH, PELAN HALA TUJU SABAH MAJU JAYA 2021-2025...

DEMI MASA DEPAN RAKYAT SABAH, PELAN HALA TUJU SABAH MAJU JAYA 2021-2025 DILANCARKAN

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025) dilancarkan demi masa depan rakyat Sabah di mana inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) ini bukanlah milik peribadi Ketua Menteri dan kabinet mahupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, hak milik SMJ adalah kepunyaan semua anak watan Sabah bersama.

Dia berkata pihaknya bertanggungjawab untuk memastikan kerajaan dan rakyat bergerak seiring membina negeri yang lebih maju dan berjaya berlandaskan slogan itu yang terukir pada jata negeri ini.

“Sejak awal lagi pengisian hala tuju SMJ ditekankan perlu menyantuni aspirasi semua lapisan masyarakat…

“Sebaik sahaja Kabinet negeri merumuskan kerangka hala tuju strategik, saya mengarahkan Sekretariat Hala Tuju SMJ untuk melaksanakan gerak kerja libat urus untuk mendapatkan input, syor dan pandangan daripada pelbagai pihak merentasi semua segmen masyarakat.

“Kita menerima pelbagai maklum balas berupa idea, cadangan dan pendapat yang menyentuh berbagai aspek pembangunan.”

Hajiji berkata melalui responden e-penyertaan, sebanyak 1,280 input berjaya diperolehi.

“Sambutan positif daripada masyarakat ini menzahirkan keprihatinan dan harapan tinggi rakyat kepada kerajaan untuk merintis agenda perubahan, membawa rakyat dan tanah air melangkah ke hadapan untuk masa depan yang lebih makmur dan sejahtera,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sebelum merasmikan Pelancaran Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025) siang tadi.

Sumber Foto; Jabatan Penerangan Sabah…

Hajiji berkata, dalam hala tuju SMJ, kerajaan akan memfokuskan kepada TIGA (3) sektor utama pertumbuhan ekonomi iaitu PERTANIAN, PERINDUSTRIAN dan PELANCONGAN.

Menurutnya, dengan potensi dan sumber semula jadi yang dimiliki Sabah, kerajaan negeri yakin sektor pertanian akan dapat diperkasakan untuk menyumbang hasil kepada negeri.

Katanya, usaha itu dapat dicapai melalui pengeksportan hasil tempatan, meningkatkan pendapatan
masyarakat tani dan nelayan serta mengurangkan kebergantungan negeri kepada import produk
pertanian.

“Sektor kedua fokus pertumbuhan ekonomi negeri di bawah Hala Tuju SMJ adalah perindustrian.

“Sabah pernah menjadi salah sebuah negeri industri utama di Malaysia hingga pertengahan tahun 1980-an.

Sumber Foto; Jabatan Penerangan Sabah…

“Kita perlu bangkit dan melonjakkan potensi dan mengoptimumkan sumber semula jadi yang ada bagi meningkatkan pertumbuhan sektor perindustrian.”

“Di dalam Pelan SMJ, strategi dan pendekatan utama yang akan dilaksanakan adalah peningkatan insfrastruktur perindustrian, pembangunan keusahawanan, promosi pelaburan, dan usaha-usaha untuk meningkatkan daya saing industri dengan memanfaatkan kemajuan Revolusi Industri 4.0,” jelas beliau.

Bagi sektor pelancongan pula, walaupun pandemik COVID-19 mengakibatkan ‘percutian’ untuk aktiviti industri pelancongan, ianya hanya untuk sementara, kata Hajiji.

“Ini memberi peluang kepada destinasi-destinasi pelancongan di negeri ini untuk menjalani proses rekuperasi (pemulihan)…

“Ia juga memberi peluang kepada kerajaan dan pihak industri untuk menetapkan semula dan merangka strateg jangka panjang bagaimana sektor ini boleh dimajukan lebih jauh ke hadapan,” tambah Hajiji.

Turut hadir dalam majlis itu adalah barisan kabinet menteri negeri Sabah.

Sumber Foto; Jabatan Penerangan Sabah…