Zara Qairina Menulis Diari Saat Tertekan – Saksi

Zara Qairina Menulis Diari Saat Tertekan – Saksi

0
SHARE

KOTA KINABALU, 8 Oktober – Seorang saksi ke-18 yang juga kanak-kanak kesembilan dalam prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa remaja itu sering menulis diari ketika berada dalam keadaan tertekan.

Menurut peguam Joan Goh, saksi mengenali tentang diari tersebut kerana pernah melihat Zara menulis di dalamnya semasa di asrama, dan pernah membacanya sekali dengan izin arwah. Catatan yang dibaca menceritakan kerinduan Zara terhadap rakan-rakan lamanya di sekolah rendah.

“Setahu saksi, Zara akan menulis diari apabila dia ‘stress’ kerana tulisannya jadi laju. Namun, saksi tidak tahu sebab Zara tertekan atau di mana diari itu disimpan,” kata Joan kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini.

Saksi turut memaklumkan bahawa Zara tidak pernah mengadu diganggu, dibuli, tertekan dengan pelajaran atau menghadapi konflik dengan pelajar lain.

Pada malam 15 Julai, saksi melihat Zara berjalan ke bilik lain selepas diberitahu ada pelajar kehilangan barang. Ketika memeriksa barangan Zara, mereka menemui satu pin Jalur Gemilang bertulis nama pelajar lain.

Selepas kembali ke dorm sekitar jam 11 malam, Zara kelihatan marah, menutup loker dan menangis sambil menjerit, “Aku nda curi bah, sial.” Saksi berkata itu kali pertama dia melihat Zara dalam keadaan sedemikian.

“Saksi tidak meminjamkan gunting kepada Zara kerana dia tiada gunting. Selepas itu, Zara keluar dari dorm dan saksi terus tidur,” jelas Joan.

Saksi juga memberitahu bahawa pada petang hari sama, dia melihat Zara kelihatan muram dan menyendiri di asrama. Disebabkan mereka di kelas berbeza, saksi tidak tahu keadaan Zara semasa sesi persediaan malam.

Peguam Joan Goh bersama Datuk Ram Singh hadir mewakili salah seorang daripada lima remaja yang berkaitan dalam kes ini sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.

Allahyarhamah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya awal pagi 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya.