Pesta Kaamatan Platform Terbaik Eratkan Keharmonian Masyarakat Berbilang Kaum, Etnik di Sabah

Pesta Kaamatan Platform Terbaik Eratkan Keharmonian Masyarakat Berbilang Kaum, Etnik di Sabah

0
SHARE
Juhar
Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menyempurnakan perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri bertempat di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PENAMPANG, SABAH – Sambutan Tadau Kaamatan atau Pesta Kaamatan terbukti menjadi salah satu platform terbaik yang mengeratkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan etnik di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata sambutan yang diadakan pada bulan Mei setiap tahun itu tidak hanya diraikan oleh masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) malah juga dimeriahkan etnik lain.

“Sambutan Pesta Kaamatan ini adalah salah satu platform terbaik untuk mengeratkan keharmonian dalam masyarakat memandangkan ia melibatkan penyertaan dari semua suku etnik di negeri Sabah dengan kepelbagaian budaya yang merangkumi pakaian, tarian dan makanan.

“Pesta Kaamatan bukan sahaja mengenai hasil tuaian bagi menjamin bekalan makanan kepada penduduk, namun juga membawa pengertian yang lebih luas.

“Perayaan ini bertujuan untuk memperkasakan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum agar kestabilan sosial, politik, ekonomi dan pembangunan yang teratur serta mampan sentiasa terpelihara.

“Selain itu, sambutan Pesta Kaamatan ini berupaya membantu memulihara dan mempromosikan budaya serta keunikan masyarakat negeri Sabah agar lebih ramai penduduk serta pelancong dari luar negeri berkunjung sekaligus menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri bertempat di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Dalam pada itu, Jeffrey yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri itu juga berkata pihaknya meneruskan program Seeds’ Spirit Revival (SSR) untuk Pesta Kaamatan tahun ini.

“Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan alam sekitar terutamanya tumbuh-tumbuhan herba yang mempunyai nilai dari segi sains perubatan dan komersial.

“Selain itu, International Day for Cultural Diversity Dialouge yang telah diadakan pada 21 Mei ini bertujuan untuk mempromosikan warisan budaya dan konservasi alam sekitar di negeri ini serta juga pada skala global.

Justeru itu, saya ingin menyeru kepada semua lapisan masyarakat untuk berganding bahu dalam mempertahankan khazanah yang dikurniakan oleh Tuhan.

“Iaitu memelihara dan memulihara alam sekitar dalam menangani isu perubahan iklim dan kekurangan bekalan makanan tatkala menikmati arus pemodenan,” katanya.