SINGAPURA – Pihak berkuasa Singapura merampas 400 rokok elektronik (e-rokok) dan 8,100 pod isi semula yang cuba diseludup dari Malaysia menggunakan lori membawa buah buahan.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), berkata Sabtu lalu pegawainya di Pusat Pemeriksaan Woodlands mengarahkan sebuah lori menjalani pemeriksaan lanjut selepas mereka melihat ada yang menimbulkan syak dalam imej imbasan lori itu.
BH melaporkan bahawa pihak ICA kemudiannya menemui e-rokok dan pod isi semula yang dibalut dengan kerajang aluminium serta disembunyikan dalam peti di belakang lori, menurut ICA menerusi Facebook semalam.
Pemandu lori warga Malaysia dan kelindannya kemudian diserahkan kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk siasatan lanjut.
Menurut ICA, sesiapa yang didapati bersalah membeli e-rokok dalam talian dan menghantarnya ke Singapura untuk kegunaan peribadi boleh didenda hingga SGD$10,000 (RM30, 870) dan penjara hingga enam bulan.
Pada 28 Disember lalu, pegawai Kastam Singapura merampas 1,056 kotak pod e-rokok dan 247 e-vaporiser dalam serbuan di sebuah unit perindustrian di Loyang.





