SABAH PERUNTUKAN RM97.5 JUTA UNTUK PEMBANGUNAN BELIA DAN SUKAN BAGI TAHUN 2023:...

SABAH PERUNTUKAN RM97.5 JUTA UNTUK PEMBANGUNAN BELIA DAN SUKAN BAGI TAHUN 2023: KM HAJIJI

0
SHARE
Joachim
Joachim (dua dari kanan) menerima jersi rasmi Borneo Sevens dari Pengerusi Penganjur dan Presiden Sabah Rugby Union and Eagles Rugby Club, Velayuthan Tan ( Sumber Foto: Ihsan Pejabat Timbalan Ketua Menteri Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM97.5 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah untuk pembangunan belia dan sukan, menaik taraf kemudahan sukan dan penyediaan pengajian sains sukan tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memajukan pembangunan sukan di Sabah.

“Sebagai Ketua Menteri Sabah, saya mahu melihat Sabah melahirkan lebih ramai atlet dan ahli sukan yang hebat yang akan membawa kegemilangan sukan kepada negeri dan negara kita.

“Ramai yang telah cemerlang dan membanggakan Sabah dan daerah dalam arena sukan negara dan antarabangsa,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Joachim Gunsalam pada majlis pelancaran media Kejohanan Ragbi Borneo Sevens 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Begitu juga, katanya tumpuan juga perlu diberikan kepada sukan seperti ragbi supaya bakat muda dapat dicungkil dan diolah.

“Sabah, seperti yang kita sedia maklum sudah pun menjadi salah satu kuasa besar sukan ragbi di Malaysia dan saya amat berbangga kerana pasukan ragbi lelaki Sabah telah cemerlang dan berjaya memenangi Piala Agong yang berprestij setakat ini.

“Ini petanda baik untuk ragbi di negeri ini dan saya ingin melihat pasukan ragbi kita melonjak ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Katanya, dengan Kesatuan Ragbi Sabah dan Kelab Ragbi Eagles antara perintis dalam melaksanakan teknik dan modul terkini dalam pembangunan sukan, beliau boleh meramalkan masa depan yang baik untuk permainan itu di sini.

“Saya gembira mengetahui bahawa persaudaraan ragbi Sabah telah menetapkan satu standard dalam pembangunan sukan yang harus dicontohi ramai,” katanya.

Ketua Menteri yakin pegawai ragbi Sabah mempunyai keupayaan untuk menganjurkan Borneo Sevens dengan berkesan, yang merupakan acara yang mendapat persetujuan Ragbi Asia.

“Dengan kehadiran pasukan luar negara ternama dan pasukan terbaik Malaysia beraksi, peminat sukan khususnya peminat ragbi akan dihidangkan dengan kecemerlangan ragbi pada Mac akan datang.

“Saya yakin Borneo Sevens akan terus berkembang dalam prestij untuk menjadi acara teras dalam kalendar kejohanan untuk semua pasukan ragbi di rantau ini,” katanya.