Sebaik Angkat Sumpah, Muncul Pula Desas-Desus BN Dekati ADUN Bebas

Sebaik Angkat Sumpah, Muncul Pula Desas-Desus BN Dekati ADUN Bebas

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebaik sahaja Datuk Seri Panglima Hajiji Noor selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah awal pagi tadi di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman, muncul pula desas-desus mendakwa blok Barisan Nasional (BN) sedang berusaha mendekati beberapa ADUN Bebas bagi mengubah kedudukan majoriti selepas Pilihan Raya Umum ke-17 Sabah.

Upacara angkat sumpah itu berlangsung hanya beberapa jam selepas keputusan tidak rasmi menunjukkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendahului dengan 29 kerusi, diikuti Warisan (25), BN (6), UPKO (3), STAR Sabah (2), KDM (1), PH (1), PN (1) dan 5 ADUN Bebas.

Kerusi Bebas dimaksudkan ialah Bandau, Kukusan, Petagas, Tulid dan Pintasan.

Menurut beberapa sumber rapat dengan rundingan politik, dakwaan berlegar bahawa beberapa wakil BN dikatakan mula menghubungi ADUN Bebas sebaik keputusan kerusi dimuktamadkan malam tadi.

“Ada yang kata mereka sedang berhubung sejak lewat malam. Desas-desus itu memang kuat, khususnya membabitkan usaha memujuk ADUN Bebas untuk mempertimbangkan gabungan alternatif,” kata salah seorang sumber yang enggan dinamakan.

Sumber itu turut mendakwa beberapa ADUN Bebas kini “menghilang daripada radar”, dipercayai bagi mengelakkan tekanan daripada pelbagai pihak.

Bagaimanapun, sumber itu tidak menafikan ada sejumlah wang ditawarkan untuk menyertai gabungan alternatif itu.

“Tawar menawar sedang berlaku. Kita harap mereka menyertai kita dan dapat tubuh kerajaan dengan Warisan,” kata sumber itu.

Sumber itu juga mengulas sama ada BN sedang meninjau kemungkinan membentuk blok bersama Warisan, yang memiliki 25 kerusi.

Dengan lima ADUN Bebas berada di luar mana-mana blok, pemerhati politik melihat mereka kini menjadi faktor paling kritikal dalam menentukan kekuatan mana-mana gabungan.

Beberapa daripadanya dilaporkan tidak menjawab panggilan media sejak malam tadi, menambahkan lagi spekulasi bahawa mereka menjadi tumpuan pelbagai pihak.

“Lebih banyak pergerakan dijangka berlaku dalam 24 hingga 72 jam akan datang,” kata sumber itu lagi.