SPRM Digesa Siasat Dakwaan BN Cuba ‘Beli’ ADUN Bebas

SPRM Digesa Siasat Dakwaan BN Cuba ‘Beli’ ADUN Bebas

0
SHARE

KOTA KINABALU: Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS) hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan usaha BN mempengaruhi ADUN Bebas selepas pembentukan kerajaan baharu Sabah awal pagi tadi, demi menjaga integriti proses demokrasi negeri.

BEBAS berkata rakyat Sabah telah membuat keputusan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-17 Sabah (PRU17), dan sebarang cubaan “menggugat pilihan itu melalui tawar-menawar politik yang meragukan” wajib disiasat tanpa kompromi.

“Kami menerima aduan dan membaca laporan media mengenai dakwaan sogokan terhadap beberapa ADUN Bebas. Ia cukup serius untuk disiasat,” kata kenyataan itu.

“Sabah mesti kekal aman, harmoni dan stabil. Jangan rosakkan keputusan rakyat melalui taktik di belakang tabir.”

BEBAS turut meminta Barisan Nasional (BN) agar menghormati proses demokrasi dan tidak dilihat mengganggu kestabilan politik negeri, terutama selepas Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman.

“Rakyat Sabah sudah memilih. Mereka memilih gabungan tempatan untuk mentadbir negeri.

“Mana-mana parti luar, termasuk BN, wajar menghormati mesej itu.

“Tetapi jika melibatkan unsur tidak bersih, ia mencemar keharmonian dan perpaduan rakyat Sabah,” tegas BEBAS.

Dalam kenyataan sama, BEBAS turut menyentuh perkembangan gerakan politik terbaharu yang didakwa melibatkan rundingan antara beberapa parti bagi membentuk blok alternatif.

Menurut BEBAS, gerakan itu menimbulkan persoalan baharu terhadap konsistensi beberapa parti tempatan.

“Sebelum ini Warisan beria-ia menegaskan mereka tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana parti Semenanjung.

“Tapi gerakan ini yang muncul sekarang jelas menunjukkan pendirian Warisan sendiri mula diragui – cakap lain, buat lain.

“Rakyat Sabah boleh nilai sendiri siapa yang konsisten, siapa yang berputar belit,” kata kenyataan itu.

BEBAS berkata pihaknya tidak memihak kepada mana-mana gabungan, tetapi mengingatkan semua parti agar tidak mengkhianati mandat rakyat.

Terdahulu, laporan memetik sumber rapat rundingan politik mendakwa terdapat usaha mendekati beberapa ADUN Bebas selepas keputusan kerusi dimuktamadkan.

Spekulasi semakin kuat selepas beberapa ADUN Bebas dilaporkan “menghilang daripada radar”, menambah teka-teki mengenai percaturan politik di belakang tabir.

Sumber yang sama mendakwa wujud tawar-menawar politik hebat di peringkat tertutup, namun sehingga kini tiada bukti rasmi diketengahkan.

BEBAS menggesa SPRM bertindak proaktif menyiasat mana-mana pihak berkaitan bagi memastikan semua dakwaan tersebut dapat diperjelas secara telus.