KOTA KINABALU: Selepas Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) Sabah selesai, perbualan politik di negeri itu bertumpu kepada satu persoalan besar: adakah Barisan Nasional (BN) akan menyertai kerajaan GRS Plus yang sedang dibentuk oleh Datuk Seri Panglima Hajiji Noor?
GRS yang memenangi 29 kerusi muncul sebagai blok terbesar, namun kerajaan menjadi lebih kukuh apabila 5 ADUN Bebas menyatakan sokongan padu kepada Hajiji sejak awal.
Antara yang paling cepat mengumumkan sokongan ialah ADUN Bebas Pintasan, Fairuz Renddan, diikuti empat lagi ADUN Bebas dari kawasan lain yang mahu memastikan GRS dapat membentuk kerajaan stabil.
PH pula hanya mendapat 1 kerusi.
Menurut sumber, BN dengan 6 kerusi menjadi perhatian kerana kedudukan mereka yang boleh menguatkan majoriti dan menambah kestabilan politik Sabah.
“Spekulasi semakin memuncak apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengeluarkan kenyataan yang dilihat sebagai isyarat jelas bahawa BN tidak menutup pintu kerjasama.
“Beliau menegaskan BN ‘sedia bekerjasama’ bagi memastikan kerajaan negeri Sabah dapat dibentuk dengan kukuh dan teratur,” kata sumber itu.
Kenyataan itu membuka ruang besar kepada andaian bahawa BN mungkin memilih untuk menyertai GRS Plus, bukan sekadar menjadi penyokong dari luar.
Rundingan dalaman dikatakan semakin rapat, dengan spekulasi bahawa BN berpotensi menerima satu kuota dalam Kabinet Sabah, sama ada sebagai menteri penuh atau pembantu menteri.
Menurut sumber itu lagi, di pihak rakan GRS, suasana kelihatan kondusif.
“UPKO menyuarakan keyakinan kepada kepimpinan Hajiji dan menegaskan sokongan mereka terhadap agenda memperjuangkan hak Sabah.
“STAR Sabah pula memberi jaminan bahawa mereka terbuka kepada mana-mana parti yang mahu menyumbang kepada kestabilan negeri. Nada parti-parti ini mencerminkan kesediaan menerima BN dalam gabungan lebih besar,” katanya.
Penyertaan BN dalam GRS Plus dilihat sebagai langkah yang mampu mengukuhkan pentadbiran Hajiji, menambah kekuatan majoriti, dan memastikan kerajaan negeri tidak mudah digugat mana-mana pihak.
“Jika langkah itu terlaksana, GRS Plus bersama BN akan membentuk satu blok kerajaan yang sangat stabil, sementara Warisan dengan 25 kerusi akan menjadi pembangkang paling kuat dalam Dewan Undangan Negeri.
“Ini boleh mencorakkan dinamika politik yang lebih seimbang tetapi lebih tegas dalam sesi-sesi dewan akan datang,” jelas sumber itu lagi.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu, kelmarin.
Beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, jam 3.05 pagi.
Hajiji mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah untuk penggal kedua
Turut hadir pada istiadat di Istana Seri Kinabalu ialah Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali; Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya; Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh dan Setiausaha Sulit Musa iaitu Izharuddin Jalaludin.






