Tabung Haji Jamin Keselamatan Jemaah Haji Di Tengah Konflik Asia Barat

Tabung Haji Jamin Keselamatan Jemaah Haji Di Tengah Konflik Asia Barat

0
SHARE

SEPANG: Tabung Haji (TH) memberi jaminan keselamatan, perlindungan insurans serta kelancaran operasi jemaah haji Malaysia bagi musim 1447H/2026M meskipun konflik di Asia Barat berterusan.

Timbalan Pengarah Operasi Haji Dalam Negeri 1447H/2026M, Mohd Norber Kassim berkata, TH sentiasa memantau perkembangan semasa dan bersedia menyesuaikan pelan bencana mengikut situasi di lapangan.

“TH telah lama bersedia dengan pelan bencana serta prosedur operasi standard (SOP). Insya-Allah, pelan ini akan diselaraskan mengikut keadaan semasa,” katanya memetik Bernama.

Menurut beliau, TH turut berunding dengan Majlis Keselamatan Negara serta berhubung dengan kerajaan Arab Saudi bagi mendapatkan maklumat terkini.

“Kerajaan Arab Saudi mengesahkan ibadah haji berjalan seperti biasa, maka operasi musim ini diteruskan,” katanya.

Beliau menambah, kebajikan jemaah haji Malaysia kekal di bawah pengurusan penuh TH dan akan diberi perhatian sewajarnya.

Penerbangan pertama dijadual berlepas pada 18 April manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei, melibatkan 100 penerbangan khas oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines dari lapan stesen berlepas seluruh negara.