127.3 Hektar Pulau Sebatik Sabah ‘Lepas’ Ke Indonesia, Malaysia Terima Hanya 4.9...

127.3 Hektar Pulau Sebatik Sabah ‘Lepas’ Ke Indonesia, Malaysia Terima Hanya 4.9 Hektar – G57 Tuntut Penjelasan Kerajaan Persekutuan

0
SHARE
Zulkarnain
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar (Sumber Foto: Ihsan G57)

KOTA KINABALU, SABAH – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan penuh, telus dan terperinci berhubung pelarasan sempadan Malaysia–Indonesia yang melibatkan kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik yang kini disahkan berada dalam wilayah Indonesia.

Desakan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Pejabat Staf Presiden Indonesia, Muhammad Qodari, yang memaklumkan kawasan berkenaan sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia, namun telah disahkan sebagai milik Indonesia selepas proses penetapan sempadan darat dimuktamadkan melalui rundingan dua hala.

Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, isu tersebut bukan sekadar perkara teknikal, sebaliknya menyentuh secara langsung soal kedaulatan negara, kepentingan Sabah serta hak rakyat tempatan.

“Perbezaan keluasan yang ketara ini bukan sahaja menimbulkan persoalan, malah mencetuskan kebimbangan terhadap keseimbangan hasil rundingan yang dicapai. Rakyat berhak mengetahui asas dan justifikasi keputusan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, lebih membimbangkan apabila Malaysia dilaporkan hanya menerima kira-kira 4.9 hektar kawasan sebagai pertukaran, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap ketelusan serta kedudukan kepentingan negara dalam rundingan tersebut.

Sehubungan itu, Zulkarnain menuntut kerajaan menjelaskan secara terperinci garis sempadan baharu yang telah dipersetujui, penglibatan Kerajaan Negeri Sabah dalam proses rundingan, serta implikasi sebenar terhadap aspek kedaulatan, keselamatan dan pentadbiran wilayah negara.

“Sebarang rundingan melibatkan sempadan negara mesti dilaksanakan dengan penuh ketelitian, ketegasan serta mengutamakan kepentingan nasional, bukannya sekadar mencapai penyelesaian tanpa mengambil kira keseimbangan hasil kepada kedua-dua pihak,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa suara rakyat Sabah tidak boleh diketepikan memandangkan negeri itu mempunyai kedudukan strategik dari segi geopolitik, keselamatan dan ekonomi.

Katanya, kegagalan memberikan penjelasan yang jelas hanya akan membuka ruang kepada spekulasi serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Rakyat Sabah berhak mengetahui fakta sebenar, dan kerajaan wajib menjawab dengan jujur serta bertanggungjawab,” katanya.