Saifuddin Akui Silap Susun Ayat Berhubung Kerjasama PH-BN

Saifuddin Akui Silap Susun Ayat Berhubung Kerjasama PH-BN

0
SHARE

PUTRAJAYA – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui kesilapannya dalam menyusun ayat ketika berkongsi pengalaman peribadinya di Facebook, berhubung rundingan pembentukan kerajaan perpaduan membabitkan kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), baru-baru ini.

Memetik sumber Berita Harian, Setiausaha Agung PKR itu berkata susunan ayat dalam hantaran terbabit kurang tepat.

Ia menyebabkan timbulnya kekeliruan dalam mentafsir perspektif sebenar rundingan kerjasama yang berlaku di antara dua parti tersebit.

Ketika menjelaskan mengenainya hari ini, Saifuddin berkata rundingan pembentukan kerajaan antara kedua-dua gabungan berkenaan hanya berlaku selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diperoleh.

Walau bagaimanapun, hubungan peribadinya dengan pemimpin utama BN sudah lama terjalin sekaligus memudahkan rundingan kerjasama diadakan di antara kedua-dua gabungan terbabit.

“Kerjasama perbincangan selepas PRU15 apabila keputusan menyaksikan tiada blok boleh membentuk kerajaan. Namun, hubungan peribadi dengan watak utama politik ‘non PH’ (bukan PH) sudah lama berjalan dan kekeliruan berlaku di situ…

“Sesetengah media memilih (melaporkan) rundingan berlaku sebelum (PRU15). Nanti saya akan perbaiki susunan ayat dalam hantaran di media sosial dan beri perspektif lebih tepat.

“Terima kasih kerana bertanyakan dan bantu saya memberikan perspektif lebih tepat mengenai hantaran berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan taklimat bersama semua agensi di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.