KOTA KINABALU, 23 September – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM70 juta dalam bentuk bantuan kewangan kepada sekolah mubaligh dan swasta, kuil serta badan keagamaan bukan Islam.
Hajiji berkata, bantuan berkenaan akan ditingkatkan kepada RM90 juta tahun depan.
Hajiji turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) di mana pemegang sijil tersebut layak memohon biasiswa negeri serta kemasukan ke institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.
“Kita bukan sahaja mengiktirafnya, malah mengambil tindakan. Tadi saya telah membisikkan kepada Menteri Kewangan bahawa kita juga akan mempertimbangkan permohonan daripada pemegang sijil ini untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Malam Mesra Ketua Menteri Sabah bersama masyarakat Cina, sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam di sini malam tadi.

Tambahnya, sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab, pentadbirannya sentiasa merancang dan bekerja keras menangani sebarang isu, sambil terus mengambil berat serta memastikan semua komuniti, tanpa mengira warna kulit atau pegangan agama, mendapat perlindungan yang adil dan saksama.
“Itulah sebabnya saya sentiasa menyokong dan membantu mana-mana institusi, NGO atau persatuan yang memerlukan bantuan, walaupun ia bergantung juga kepada kemampuan kerajaan dan ketersediaan dana.
“Semangat perpaduan dan kebersamaan inilah yang menjadi prinsip panduan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Kerajaan Negeri sejak membentuk kerajaan lima tahun lalu,” katanya.
Selain daripada peruntukan RM70 juta itu, Hajiji berkata beliau juga telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan melalui Peruntukan Khas Ketua Menteri, termasuk bantuan kepada sekolah Cina dan persatuan kebudayaan Cina di Sabah, seperti untuk Pesta Tahun Baru Cina, pembelian kepala singa, Pesta Bot Naga, serta bantuan kepada gereja dan lain-lain.
“Diharapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menyokong aktiviti sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah,” katanya.






