KOTA KINABALU, SABAH – Percubaan untuk menggulingkan dan menukar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah gagal, hari ini.
Memetik sumber Berita Harian, ‘Langkah Kinabalu’ itu dikatakan ada kaitan dengan gerakan yang diatur oleh pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Barisan Nasional (BN).
Petang tadi, dijadualkan terdapat dua sidang media berasingan daripada Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang seharusnya berlangsung.
Walau bagaimanapun, dua sidang media terbabit dibatalkan tanpa perincian lanjut.
Menurut sumber berkata, UMNO Sabah terbahagi kepada dua puak, susulan cubaan itu.
Katanya, tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) pula tidak bersetuju dengan cubaan menukar Ketua Menteri.
Spekulasi bermula malam tadi selepas Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Masidi Manjun tampil dengan kenyataan mengenai kesediaan GRS membuktikan keabsahan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian.
Masidi juga berkata tindakan terbabit dilakukan susulan dakwaan pihak tertentu memperoleh sokongan lebih separuh daripada ADUN untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.
Kerajaan baharu tersebut dikatakan diwujudkan menerusi kerjasama dan BN dengan Seri Mohd Shafie dikatakan bakal dilantik semula sebagai Ketua Menteri Sabah.
Secara kronologinya, pagi tadi, spekulasi turut tersebar kononnya Mohd Shafie dan beberapa pemimpin UMNO serta PH Sabah menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, dipercayai ada kaitan dengan pertukaran kerajaan negeri dan Ketua Menteri.
Mengukuhkan lagi spekulasi itu apabila WARISAN menjemput pengamal media menghadiri sidang media Mohd Shafie pada jam 4.30 petang tadi.
Manakala Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar dikatakan mengadakan satu perjumpaan tertutup bersama barisan pemimpin UMNO negeri di Bangunan UMNO Sabah dan turut mengadakan sidang media.
Namun sekitar jam 6.50 petang tadi, WARISAN memaklumkan sidang Mohd Shafie ditangguhkan manakala Bung Moktar pula terus meninggalkan Bangunan UMNO Sabah, selepas selesai mesyuarat pada jam 6.30 petang tadi.
Bung Moktar yang sempat disapa pemberita hanya mengatakan tiada apa-apa yang berlaku, selain hanya mesyuarat atau pertemuan biasa bersama pemimpin UMNO negeri.
“Tiada apa-apa hanya ‘meeting-meeting’ saja. Kami bincang mengenai masa depan parti,” katanya.
Beliau berkata demimian ketika meninggalkan Bangunan UMNO Sabah bersama pemimpin UMNO negeri yang lain.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Bung Moktar, Jaafar Abd Wahid juga menjelaskan kepada media bahawa pertemuan pemimpin UMNO Sabah petang tadi hanya merupakam perjumpaan biasa bagi membincangkan perkara berhubung parti di negeri ini.
Ketika ini, kerajaan Sabah ditadbir GRS bersama BN atau disebut Kerajaan GRS-BN dengan 46 kerusi, disamping turut disokong PH Sabah sejajar pembentukan Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan yang ditunjangi PH.
GRS yang merangkumi bekas ADUN BERSATU, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) mempunyai 29 ADUN, termasuk tiga orang ADUN Dilantik.
BN pula mempunyai 17 ADUN termasuk dua ADUN Dilantik, manakala PH mempunyai tujuh ADUN, iaitu masing-masing empat DAP, diikuti dua PKR dan seorang ADUN Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Selain itu, tiga ADUN Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), seorang ADUN Bebas (Kuamut) dan seorang ADUN Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) sebelum ini turut menyatakan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Hajiji.