KOTA KINABALU: Atlet lengan besi terkenal dunia, Devon Larratt, bersama isterinya Jodi Larratt, sedang meneroka pengalaman pelancongan di Sabah sempena penyertaan mereka dalam Kejohanan Lengan Besi Antarabangsa East vs West yang julung kali diadakan di Malaysia dengan Sabah sebagai tuan rumah.
Pasangan itu tiba di Kota Kinabalu pada Rabu (17 Jun) dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Julinus Jeffery Jimit, dalam satu majlis makan malam tradisional Sabah di The Native Café Hotel No.5.
Sepanjang berada di Sabah, mereka dijadualkan melawat beberapa tarikan utama termasuk Taman Negara Kinabalu, Mari-Mari Cultural Village, pelayaran Sungai Klias, aktiviti melompat pulau serta Pasar Ahad Jalan Gaya.
Lembaga Pelancongan Sabah menyediakan program familiarisasi bagi memperkenalkan kepelbagaian produk pelancongan negeri itu kepada atlet dan pengunjung antarabangsa.
Mereka juga akan menghadiri sesi ramah mesra bersama peminat dan atlet pada 20 dan 21 Jun di Centre Point Sabah.
Devon berkata beliau teruja untuk pertama kali mengalami Sabah dan berinteraksi dengan komuniti lengan besi tempatan.
“Ini kali ketiga saya ke Borneo dan kali pertama ke bahagian ini. Saya teruja melihat bakat di sini,” katanya.
Beliau menambah bahawa acara sukan antarabangsa mampu meningkatkan pelancongan melalui gabungan pertandingan dan pengalaman budaya.
Seramai lebih 150 peserta dari 13 negara akan menyertai kejohanan itu.






