Imigresen Sabah Pulangkan Lebih 3,000 PATI Ke Negara Asal, Majoriti Warga Filipina

Imigresen Sabah Pulangkan Lebih 3,000 PATI Ke Negara Asal, Majoriti Warga Filipina

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah terus mempergiat usaha penguatkuasaan imigresen apabila berjaya memindahkan pulang seramai 3,625 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal masing-masing setakat ini.

JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua PATI itu termasuklah majoritinya 2,428 yang merupakan warga Filipina dan 70 warga China yang telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang negara.

Terbaharu, JIM Sabah melaksanakan Program Pemindahan Tahanan PATI melibatkan seramai 166 warga Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Sandakan yang dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Lahad Datu menuju Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan feri komersial.

Daripada jumlah itu, seramai 143 adalah lelaki dewasa, enam wanita dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 66 tahun.

Kanak-kanak yang terlibat turut diiringi oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing sepanjang proses pemindahan.

Sebelum itu, pada 16 Jun lalu, JIM Sabah turut melaksanakan pemindahan PATI melalui udara melibatkan 11 warga Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu yang dihantar terus ke Manila melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). Kumpulan tersebut terdiri daripada sembilan lelaki dewasa dan dua wanita dewasa.

Pada tarikh sama, Depot Imigresen Tawau turut melaksanakan penghantaran pulang sembilan warga China yang terdiri daripada tujuh lelaki dewasa dan dua wanita dewasa menerusi penerbangan terus dari Lapangan Terbang Tawau ke Guangzhou, China.

JIM Sabah memaklumkan semua tahanan yang terlibat telah selesai menjalani hukuman mengikut undang-undang yang ditetapkan serta memiliki Dokumen Perjalanan (Travel Documents) yang sah bagi membolehkan proses penghantaran pulang dilaksanakan.

Dalam pada itu, jabatan berkenaan menegaskan akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa dokumen yang sah.

Menurut JIM Sabah, majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan melindungi atau bersubahat dengan PATI.

Jabatan itu turut menegaskan komitmennya untuk memperkukuh operasi penguatkuasaan dan pemindahan tahanan asing sebagai sebahagian daripada usaha memastikan keselamatan, kedaulatan serta pematuhan undang-undang imigresen negara terus terpelihara.