Sebanyak 19 Tan ‘E-Waste’ Berjaya Dikumpul Sekitar Pusat Bandar Kota Kinabalu

Sebanyak 19 Tan ‘E-Waste’ Berjaya Dikumpul Sekitar Pusat Bandar Kota Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 19 tan (19, 382 kilogram) buangan elektrik dan elektronik (E-waste) sekitar pusat bandar Kota Kinabalu berjaya dikumpul dalam masa seminggu dari 02 Oktober baru-baru ini.

Kerjasama antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah itu mengurangkan buangan sampah di tapak pelupusan Kayu Madang dan pencemaran alam sekitar.

Mayor Bandaraya, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, semua buangan elektrik dan elektronik tersebut telah dikumpul di pusat pengumpulan yang terletak di Pusat Lestari, Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.

“Antara barangan e-waste yang diterima ialah televisyen, peti ais, komputer, telefon bimbit, mesin basuh, penghawa dingin, radio, dan lain-lain alat perkakas…

“DBKK amat berterima kasih dan menghargai sokongan dan komitmen penduduk bandaraya Kota Kinabalu yang memberangsangkan dalam menjayakan kempen ini dengan turut serta menyumbangkan E-waste mereka,” katanya.

Longgokan barang buangan elektronik (e-Waste) yang berjaya dikumpul…

Beliau berkata sokongan orang awam amatlah penting dalam memastikan E-waste dikumpul dan dikitar semula dengan lebih sistematik dan selamat.

“Tujuan utama kempen ini iaitu untuk mengurangkan bilangan E-waste yang dikeluarkan oleh isi rumah dan memastikan agar bahan yang dihasilkan atau dikumpul dapat dilupuskan dan diuruskan secara sah oleh kemudahan yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, tugas penghantaran ke pusat pelupusan dikendali NCT Forwarding.