NEW YORK, AS – Pada masa akan datang, virus bawaan serangga berpotensi mencetuskan pandemik, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Amaran itu dikeluarkan oleh WHO yang menyatakan kumpulan virus bawaan serangga dinamakan arbovirus itu boleh disebarkan kepada manusia melalui gigitan seranggan seperti nyamuk dan kutu.
Antara contoh wabak yang disebarkan oleh kumpulan virus tersebut adalah seperti demam kuning, Zika, Chikungunya dan demam denggi.
Kumpulan virus itu menimbulkan kebimbangan kerana mendahului senarai untuk kemungkinan wabak seterusnya yang mungkin membawa kepada tercetusnya pandemik…
Kategori virus itu hidup di kawasan tropika dan subtropika yang menjadi tempat tinggal kepada kira-kira empat billion penduduk.
Pakar-pakar sedang merancang strategi bagi mengelakkan satu lagi pandemik daripada berlaku.
Satu taklimat khas mengenai potensi tersebut diadakan pada Khamis lalu oleh pengarah pasukan Kesiapsiagaan Bahaya Penyakit Berjangkit Global (GIH), Dr. Sylvie Briand daripada WHO.
“Kita telah melalui dua tahun pandemik Covid-19 dan mempelajari kesukaran (kesannya) jika tidak cukup bersedia…
“Kita diberi amaran mengenainya menerusi wabak SARS pada 2003 dan pengalaman influenza pada 2009 tetapi masih ada jurang dalam ketersediaan.
“Pandemik seterusnya berkemungkinan besar disebabkan oleh arbovirus baharu dan kami juga mendapat isyarat bahawa risikonya semakin meningkat,’’ kata Briand, lapor Wion News.
Lebih 89 negara menghadapi wabak Zika sejak 2016. Sejak awal tahun 2000-an, risiko demam kuning juga telah meningkat dan demam denggi turut menjangkiti 390 juta orang setiap tahun di 130 negara.