Mayat Lelaki Ditemui Terapung di Sungai Kalansanan

Mayat Lelaki Ditemui Terapung di Sungai Kalansanan

0
SHARE

INANAM: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat seorang lelaki yang ditemui terapung di tepi Sungai Kalansanan, Kampung Kalansanan, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, pihaknya menerima panggilan pada kira-kira jam 10.27 pagi daripada seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu yang memaklumkan mengenai penemuan mayat berkenaan di kawasan sungai berhampiran jalan pintas ke Ujana Kingfisher.

“Sejurus menerima maklumat, pasukan polis yang berada berhampiran telah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati mayat seorang lelaki berada kira-kira 30 meter dari jalan utama di tepi Sungai Kalansanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu bersama Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau tanda-tanda perbuatan jenayah pada tubuh si mati. Setakat ini, tiada unsur jenayah dikesan di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, identiti si mati dikenal pasti sebagai lelaki berusia 34 tahun berstatus Pemastautin Tetap (pemegang MyPR).

Mayat telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca kematian secara rasmi.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada pihak polis.