25 Ahli Majlis Perbandaran Sandakan Baharu Dilantik Telah Angkat Sumpah 

25 Ahli Majlis Perbandaran Sandakan Baharu Dilantik Telah Angkat Sumpah 

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Seramai 25 Ahli Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang baharu dilantik mengangkat sumpah dalam satu upacara yang diadakan bertempat di Sabah Hotel, di sini, semalam.

Upacara tersebut disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Dalam ucapannya, Joachim berkata, Ahli-Ahli Majlis ini adalah bertujuan untuk membantu dan bekerjasama dengan MPS supaya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang kepada rakyat di Sandakan.

“Kita di sini untuk berkhidmat kepada rakyat. Kita mahu memperkukuhkan pentadbiran di sini supaya perkhidmatan kepada rakyat akan lebih cemerlang,” katanya.

Menurutnya, menjadi Ahli Majlis bukanlah satu keistimewaan kerana mereka masih terikat dengan polisi kerajaan dan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah (pihak berkuasa tempatan) dan perundangan Malaysia.

Walau bagaimanapun, beliau percaya dan yakin semua Ahli Majlis akan dapat membantu MPS dan Presiden yang baharu dalam merancang, menyusun strategi dan bersama- sama menangani masalah yang dihadapi oleh masyarakat di daerah ini seperti yang telah diterangkan dalam taklimat oleh Setiausaha MPS sebelum upacara angkat sumpah bermula.

“Penyelesaian kepada masalah ini bukanlah sekelip mata sahaja tetapi ia memerlukan masa dan sekurang-kurangnya perlulah mengikut prosedur dan polisi atau undang-undang sedia ada.

“Sehubungan itu, undang-undang digubal bukanlah mahu menyukarkan rakyat malah ia adalah untuk memberi khidmat kepada rakyat dengan lebih baik,” katanya.

“Kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk mengangkat Sandakan sebagai Majlis Bandaraya, justeru saya menyeru semua Ahli Majlis berkerjasama untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan negeri melalui Kementeriannya sedia memberikan kerjasama  untuk membantu semua Ahli Majlis dalam usaha mencapai aspirasi bagi menaiktaraf MPS kepada Majlis Bandaraya.

Disamping itu, Joachim juga turut menzahirkan gembira melihat Ahli-Ahli Majlis yang terdiri daripada latar belakang yang berbeza dan mewakili etnik yang ada di Sandakan.

“Kita mahu memelihara semua etnik yang ada di negeri ini seiring dengan keunikan negeri ini yang terdiri daripada pelbagai etnik.

“Pelantikan ini adalah melalui cadangan ahli-ahli politik dan MPS sendiri yang mana Ahli Majlis menjadi penghubung di antara kerajaan dan rakyat,” katanya.