Risau Dimarahi Keluarga, Budak Reka Cerita Diculik

Risau Dimarahi Keluarga, Budak Reka Cerita Diculik

0
SHARE

SABAK BERNAM – Hanya kerana takut dimarahi keluarga kerana menghilangkan telefon bimbit, seorang kanak-kanak di Kampung Sungai Tegar, membuat cerita yang dia diculik sekumpulan lelaki, semalam.

Menurut laporan Berita Harian, dipetik berkata Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa, bahawa perbuatan murid Tahun Lima itu terbongkar selepas pihaknya membuat siasatan terhadap satu laporan polis daripada bapa kanak-kanak itu, tengah hari semalam.

“Bapa kanak-kanak ini yang berusia 42 tahun membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Sungai Air Tawar pada jam 1.30 tengah hari kelmarin.

“Polis mengesahkan kes culik itu tidak wujud. Selepas disoal siasat, mangsa mengaku mereka-reka cerita kononnya berlaku penculikan akibat takut dimarahi keluarga kerana menghilangkan telefon bimbit.

“Mangsa kemudian menunjukkan lokasi di mana basikalnya disembunyikan iaitu berhampiran sebuah masjid di kampung itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak bernam, kelmarin.

Nor Azmi berkata, kanak-kanak itu mendakwa diculik empat lelaki yang menaiki sebuah kereta ketika bermain basikal di depan rumahnya.

Kanak-kanak itu mendakwa, mulutnya ditekup seorang lelaki itu menyebabkannya pengsan dan sebaik sedar, dia berada di sebuah rumah yang tidak diketahui lokasi.

Kanak-kanak itu kemudiannya mendakwa berjaya melarikan diri melalui pintu belakang rumah berkenaan sehingga sampai ke rumah rakan bapanya di Parit Baharu sebelum dia dihantar pulang rumahnya.

Kanak-kanak itu turut mendakwa telefon bimbit dan basikalnya hilang.

Kisah kanak-kanak itu kononnya diculik turut dimuat naik dalam laman sosial Facebook melalui akaun “I Love Sungai Besar’, malam tadi.

Pengendali laman sosial itu kemudiannya mengemas kini cerita `penculikan’ kanak-kanak itu dengan maklumat mengenai perbuatan kanak-kanak itu.

Sehubungan itu, Nor Azmi menasihati ibu bapa untuk memantau aktiviti anak masing-masing, selain mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat tidak sahih di media sosial.

“Penyebaran maklumat yang tidak tepat akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat dan boleh mengganggu gugat ketenteraman awam,” katanya.