Golongan Belia Diseru Tampil Menderma Darah

Golongan Belia Diseru Tampil Menderma Darah

0
SHARE

TUARAN, SABAH – Golongan belia diseru tampil menderma darah bagi memastikan bekalan darah mencukupi kepada pesakit yang memerlukan setiap hari.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, penglibatan golongan belia dalam kempen derma darah amat dihargai bagi membantu menambah bekalan darah kepada pihak hospital.

“Kita ingin memohon supaya lebih ramai golongan muda atau belia tampil untuk menderma darah bagi melaksanakan tanggungjawab kita bersama membantu masyarakat memerlukan,” katanya

Beliau menyatakan demikian ketika melawat ke program Kempen Menderma Darah anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Daerah Tuaran di bangunan mereka, dekat sini pada Ahad.

Turut hadir para Ahli Jawatankuasa (AJK) tertinggi BSMM Daerah Tuaran.

Katanya, usaha para pertubuhan belia juga amat perlu bagi menggalakkan generasi muda supaya tampil menderma darah.

Bagaimanapun, kita tahu terdapat juga sebilangan orang yang sejak dari usia muda sudah terdorong untuk menderma darah sehinggalah mereka dewasa, inilah yang kita inginkan,” katanya yang juga Pengerusi BSMM Daerah Tuaran.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat BSMM Daerah Tuaran, Kevin Lo, berkata, statistik yang diperolehi pertubuhan tersebut di daerah berkenaan menunjukkan setakat ini hanya 20 peratus jumlah golongan belia yang hadir untuk menderma darah setiap kali mereka menganjurkan program seumpama itu.

“Kita mengharapkan belia yang aktif untuk mengajak rakan sebaya mereka sekaligus dapat menarik ramai dalam kalangan anak muda untuk turut sama menderma,” katanya.

Sebelum ini, BSMM telah mengadakan program sama yang telah dihadiri oleh isteri kepada Ketua Menteri, Datin Seri Julia Salag.