TAWAU, SABAH – Seorang lelaki warga emas, 70, yang menunggang motosikal dipandu rakannya, 40, maut apabila kaki kanannya putus dalam kemalangan dengan Perodua Alza di Jalan Tawau – Semporna pada petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya cedera di kepala.
Menurutnya, pemandu Alza, 45, dan seorang penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 4.07 petang.
“Siasatan polis trafik di tempat kejadian mendapati kemalangan itu berlaku ketika pemandu Alza dan penumpangnya dalam perjalanan ke bandar dari lapangan terbang.
“Penunggang motosikal dan penumpangnya dalam perjalanan dari Inderasabah menghala ke Kampung Blok 31 di Jalan Apas.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal dipercayai secara tiba-tiba menukar haluan ke laluan bertentangan di sebelah kanan mengakibatkan kemalangan,” katanya.
Jasmin berkata, memandangkan jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta itu tidak sempat mengelak motosikal terbabit.
“Rempuhan itu mengakibatkan kereta itu terpusing ke bahu kiri jalan sambil mengheret motosikal terbabit,” katanya.
Polis masih menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.