KOTA KINABALU, SABAH – Peniaga di Tanjung Aru Satu merayu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) membenarkan mereka beroperasi semula berikutan semua persiapan sudah disediakan.
Semalam, DBKK mengeluarkan arahan semua pasar malam dan pasar minggu di bawah bidang kuasanya ditutup selama dua minggu berkuat kuasa serta-merta bagi mengekang penularan COVID-19.
Sementara itu, peniaga, Shamsudin Bora, 50, berkata notis saat akhir itu memberi kesan besar kepada mereka.
“Notis (penutupan) diberi malam kelmarin, sedangkan kami sudah membeli bahan mentah makanan yang boleh rosak. Jika ini tidak dijual, ia membawa kerugian kepada kami…
“Kami meminta simpati kerajaan supaya gerai ini dibuka kembali secepat mungkin bagi membolehkan kami menjalankan perniagaan yang lama terjejas disebabkan COVID-19,” katanya.
Bagi Hanifah Nayan, 70, penutupan operasi itu menjejaskan pendapatan mereka yang kebanyakannya bergantung sepenuhnya pada hasil jualan gerai berkenaan.
“Kami memohon pihak berkuasa membenarkan kami beroperasi semula secepat mungkin,” katanya.