RM83.2 Juta Diperuntukkan Kepada Sarawak Bagi Program Penyeragaman Harga Barangan Keperluan Asas

RM83.2 Juta Diperuntukkan Kepada Sarawak Bagi Program Penyeragaman Harga Barangan Keperluan Asas

0
SHARE
Datuk Alexander Nanta Linggi...

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM83.2 juta diperuntukkan kepada Sarawak bagi Program Penyeragaman Harga Barangan Keperluan Asas dan daripada jumlah itu sejumlah RM19.95 juta untuk kawasan Parlimen Hulu Rejang pada tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi yang dipetik Bernama berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada RM150 juta yang diperuntukkan untuk kawasan pedalaman Sarawak, Sabah, Kedah dan Kelantan.

“Secara amnya, peruntukan diterima adalah terhad,  tidak dapat meliputi keseluruhan kawasan pedalaman Sarawak tetapi kementerian beri keutamaan kepada kawasan yang amat sukar dihubungi seperti kawasan hulu sungai atau kurang kemudahan infrastruktur yang baik.

“Pada masa ini, program ini meliputi 451 kawasan di seluruh Sarawak dan kementerian akan mempertimbangkan perluasan kawasan pengedaran di pedalaman Sarawak berdasarkan kepada peruntukan yang kementerian ini terima,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong (GPS-Hulu Rajang) yang meminta beliau menyatakan peruntukan program kepada penduduk di Sarawak, terutama kawasan Hulu Rejang dan sama ada ia mencukupi untuk meliputi semua kawasan-kawasan di pedalaman.

Menurutnya, program itu bertujuan membantu penduduk luar bandar dan pedalaman dapat membeli barangan keperluan asas yang tersenarai pada harga yang sama dijual di bandar.

Beliau berkata program itu melibatkan tujuh jenis bekalan barang asas dihantar ke kedai runcit atau ‘Point Of Sales’ (POS) iaitu beras, gula putih bertapis kasar, minyak masak paket satu kilogram atau satu liter, tepung gandum kegunaan am, gas petroleum cecair atau LPG, petrol RON95 dan diesel.

“Seramai 1.1 juta penduduk di 691 kawasan pengedaran di luar bandar dan pedalaman negeri Sabah, Sarawak, Kedah dan Kelantan telah mendapat manfaat daripada program ini,” katanya menjawab soalan asal Wilson Ugak yang mahu tahu tujuan pelaksanaan program itu dan bagaimana ia dapat membantu rakyat yang berada di kawasan pedalaman.