Pemandu Lori Mabuk Rempuh ‘Roadblock’ Inanam Digantung Lesen 2 Tahun, Denda RM14,500

Pemandu Lori Mabuk Rempuh ‘Roadblock’ Inanam Digantung Lesen 2 Tahun, Denda RM14,500

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang memandu dibawah pengaruh alkohol dan bertindak merempuh sekatan jalan raya (SJR) berhampiran Servay Batu 7 Jalan Tuaran, Inanam berjaya ditahan pihak polis kurang 500 meter setelah cuba melarikan diri dengan terus memandu.

Ketua Polis Daerah ACP Kasim Muda berkata kejadian pagi Isnin (2 September) lalu itu berlaku ketika anggota trafik bersama anggota Balai Polis Inanam melakukan SJR Op Bersepadu Dalaman pada kira-kira jam 1.05 pagi. 

“Suspek memandu sebuah lori jenis dari arah Menggatal menuju ke arah Inanam dan secara tiba-tiba merempuh dan melanggar SJR di lokasi kejadian.

“Walaubagaimanapun, pemandu tersebut berjaya ditahan dan ditangkap oleh anggota trafik yang bertugas.

“Pemandu terlibat iaitu seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 55 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Kota Kinabalu bersama lori yang dipandunya untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Kasim berkata, hasil saringan ujian pengesahan nafas EBA-2 mendapati keputusan bacaan 69mg alkohol iaitu melebihi had yang ditetapkan.

“Pada Khamis (10 Okt) lalu, kes telah dilengkapkan dan pemandu terlibat telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu dengan dua pertuduhan iaitu Seksyen 45A (1) APJ 1987 dan Sekyen 186 Kanun Keseksaan.

“Pemandu terlibat telah mengaku salah bagi dua pertuduhan setelah pertuduhan dan fakta kes dibacakan.

“Mahkamah telah menetapkan hukuman satu hari penjara, denda berjumlah RM14,500 dan hilang kelayakan lesen memandu dalam tempoh dua (2) tahun,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.