Remaja Perempuan Putus Kepala, ‘Superbike’ Terbabas Langgar Pokok

Remaja Perempuan Putus Kepala, ‘Superbike’ Terbabas Langgar Pokok

0
SHARE
Kepala mangsa putus di tempat kejadian

MIRI: Seorang remaja perempuan maut selepas motosikal berkuasa tinggi ‘superbike’ yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dalam kejadian di Tanjung Lubang, Miri, Sarawak pada awal pagi Selasa (27 Feb).

Mangsa, 18 tahun dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, difahamkan motosikal mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar beberapa pokok yang ada di bahu jalan. 

Impak daripada kemalangan itu, mangsa dikatakan terpelanting hingga menyebabkan kepala mangsa terputus dua dan beberapa organ dalaman turut terkeluar, manakala motosikalnya pula terbelah dua.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner, Alexson Naga Anak Chabu berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha R25 itu datang dari arah Tanjung Lubang ke Coco Cabana sebelum membuat pusingan U ke Tanjung Lubang semula.

“Selepas membuat pusingan U, motosikal yang ditunggang mangsa berusia 18 tahun itu disyaki gagal dikawal sebelum terbabas di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mangsa mengalami cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.