Berlin, Jerman – Akibat sering digunakan sebagai saluran penyebaran teori konspirasi antivaksin dan ancaman bunuh, kerajaan Jerman mempertimbangkan pengharaman penggunaan aplikasi Telegram.
Memetik laporan AFP, aplikasi itu juga dikatakan memainkan peranan dalam mempengaruhi masyarakat menyertai protes ganas terhadap kerajaan Jerman berkaitan polisi COVID-19 sebaik pandemik bermula.
Oleh kerana sesi parlimen akan mula membahaskan isu vaksinasi wajib, pihak berkuasa bimbang isu kontroversi ini berisiko mencetuskan gelombang kemarahan rakyat…
Dengan kemungkinan ini, ahli politik berpendapat kawalan lebih ketat diperlukan terhadap penggunaan aplikasi Telegram.
Menteri Dalam Negeri, Nancy Faeser akan memaklumkan pelan yang memerlukan aplikasi itu untuk memadamkan mesej yang mengandungi ancaman bunuh, kebencian dan mengesan penulisnya.
Kegagalan Telegram berbuat demikian akan menyebabkan aplikasi itu akan diharamkan sepenuhnya.
“Kerajaan akan pastikan mereka yang menyebarkan kebencian akan dikenal pasti,” katanya di Parlimen pada pertengahan Januari.