SHAH ALAM, SELANGOR – Banjir yang melanda hujung tahun lalu menyebabkan kerugian dianggarkan RM90.6 juta bagi sektor pertanian, perikanan dan penternakan negara, lapor Berita Harian.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, jumlah kerugian itu membabitkan 7,578 wira agro di seluruh negara.
Selangor paling teruk terjejas dengan nilai kerugian dianggarkan RM32.8 juta, membabitkan 1,100 wira agro, tambahnya.
“Angka ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa apabila ‘survey’ secara keseluruhan dibuat kerana kerosakan adalah cukup ‘extensive’.
“Walaupun cabaran ini dilalui dengan baik, terutama dalam memastikan bekalan makanan mencukupi, kita perlu menerima hakikat bahawa ekonomi negara menerima kesan begitu mendalam,” katanya…
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor ke-44 di sini, semalam.
Tek ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah.
Dalam konteks keluarga PPN Selangor, Ronald berkata sebanyak 91 projek pertanian terjejas dengan nilai kerugian dianggarkan RM1.943 juta.
“Ini membabitkan lima PPK iaitu Kuala Langat, Klang, Hulu Langat, Beranang dan Sepang,” katanya.
Beliau berharap semua jabatan dan agensi Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) bersama golongan sasar bekerjasama dalam mengadaptasikan teknologi dalam bidang pertanian.
“Daya saing sektor pertanian perlu kita pertingkatkan agar dapat menghadapi cabaran pada masa akan datang,” katanya.