SANDAKAN: Sukan catur mampu membina kekuatan minda serta keupayaan peserta mengatur strategi, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak.
Beliau berkata, berbanding sukan lain yang memerlukan tenaga fizikal, catur lebih menuntut pemikiran kritikal dan perancangan yang teliti.
“Ia mampu membina kekuatan minda seseorang peserta dalam mengatur strategi, dan inilah yang menjadikan sukan ini unik serta mencabar,” katanya selepas merasmikan HMM Chess Champions Sandakan, di sini, hari ini.
Hazem turut berkata penyertaan lebih 200 peserta berjaya menghidupkan lagi sukan catur di daerah ini.
Menurutnya, kejohanan tersebut bukan sahaja disertai peserta tempatan dari Sandakan dan daerah lain, malah turut menarik penyertaan dari luar negara.
“Terdapat peserta luar negara seawal usia empat tahun, dan ini amat baik untuk perkembangan sukan catur,” katanya.
Beliau berharap kejohanan seumpama itu dapat dianjurkan lagi pada masa hadapan.
Mengenai kemungkinan penganjuran berskala lebih besar, Hazem berkata ia bergantung kepada sambutan peserta.
“Kita akan lihat, jika pesertanya ramai, kita akan buat,” katanya.






