TUARAN: Kejohanan Bola Baling Sekolah Rendah Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Tuaran 2026 bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform penting untuk mencungkil bakat atlet muda serta membentuk generasi yang berdisiplin, berintegriti dan berdaya saing.
Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Mohammad Ghazali Hajiji berkata, sukan memainkan peranan besar dalam pembentukan sahsiah murid dengan melahirkan generasi yang sihat, berani menghadapi cabaran, menghormati peraturan serta mampu bekerjasama sebagai satu pasukan.

Menurutnya, kejohanan seperti itu juga menjadi platform terbaik mengenal pasti atlet berpotensi untuk mewakili daerah ke Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSS Sabah) sebelum melangkah ke Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
“Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan mencari juara, sebaliknya menjadi medan mencungkil bakat atlet muda serta membentuk generasi yang berdisiplin, berintegriti dan berdaya saing.
“Sukan memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah murid agar menjadi individu yang sihat, berani menghadapi cabaran, menghormati peraturan serta mampu bekerjasama sebagai satu pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Bola Baling Sekolah Rendah MSSD Tuaran 2026 di Tuaran Futsal Arena, hari ini.
Ghazali berkata, sukan bola baling bukan sahaja menguji ketangkasan dan kepantasan membuat keputusan, malah mampu memupuk nilai kepimpinan, komunikasi serta semangat juang yang tinggi dalam kalangan murid sejak usia muda.
Beliau turut mengingatkan semua peserta agar tidak hanya mengejar kemenangan, sebaliknya menjadikan kejohanan itu sebagai ruang menimba pengalaman, mengeratkan persahabatan, menghormati pengadil serta pihak lawan dan sentiasa menjunjung semangat fair play.
“Seorang juara bukan hanya diukur melalui pingat yang dimenangi, tetapi juga melalui akhlak, sikap dan keperibadian yang ditunjukkan sepanjang pertandingan. Jadikan kejohanan ini sebagai medan membina karakter, bukan sekadar memburu kemenangan,” katanya.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini menghimpunkan penyertaan sekolah-sekolah rendah dari seluruh daerah Tuaran bagi kategori bawah 12 tahun lelaki dan perempuan.
Program bertemakan “Bersaing Dengan Semangat, Menang Dengan Integriti” itu dimulakan dengan pendaftaran peserta seawal jam 6.30 pagi, diikuti perlawanan peringkat kumpulan sebelum majlis perasmian pada jam 10 pagi, manakala saingan diteruskan sehingga tamat pada hari kedua.
Sebanyak 20 sekolah mengambil bahagian dalam kejohanan itu, antaranya SK Guakon Baru, Sekolah Agama Suria, SK Lokub, SK Rugading, SK Pekan Telipok, SK Gontung, SK Pekan Tamparuli, SK Bolong, SK Kayangat, SJKC Chen Sin, SK Bundung, SK Bawang, SK Topokon, SK Tinambak, Zon Nabalu, SK Sungai Damit, SK Serusup, SK Lok Yuk, SK Kelawat dan SK Pekan Tenghilan.
Dalam pada itu, Ghazali merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, Unit Pembangunan Bakat Murid, SK Sungai Damit selaku tuan rumah, para guru, jurulatih, ibu bapa serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan kejohanan tersebut.
Beliau berharap penganjuran kejohanan seumpama itu dapat diteruskan sebagai pemangkin pembangunan sukan sekolah di daerah Tuaran, sekali gus melahirkan lebih ramai atlet muda yang bukan sahaja cemerlang di gelanggang, malah memiliki sahsiah, disiplin dan integriti tinggi.






