KOTA KINABALU: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas tidak ditemui ibunya ketika mahu dijemput pulang dari sebuah sekolah di Inanam.
IPD Kota Kinabalu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, remaja berkenaan dikenali sebagai Muhammad Muaz Furqan Hashrul, pelajar SMK Kelombong, Inanam yang menetap di Taman Vista Seri Melalin, Mengkabong, Tuaran.
Menurut kenyataan itu, kehilangan remaja berkenaan disedari kira-kira jam 1.30 tengah hari apabila ibunya tiba di sekolah untuk menjemputnya pulang, namun mendapati anaknya tiada di kawasan sekolah.
“Usaha mencari di sekitar Inanam serta mendapatkan maklumat daripada rakan-rakan mangsa telah dilakukan, namun sehingga kini mangsa masih gagal ditemui.
“Mangsa juga tidak mempunyai telefon bimbit,” menurut IPD Kota Kinabalu.
Polis memaklumkan, Muhammad Muaz Furqan mempunyai kulit hitam manis, bentuk muka bulat, kening tebal, bibir dan mata kecil serta berambut pendek berwarna hitam.
Ketika kali terakhir dilihat, remaja berkenaan memakai pakaian seragam sekolah.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan remaja terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, SM DK Rosmah Pg Hashim di talian 011-3167 7612 atau Hotline IPD Kota Kinabalu di 088-221 191.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada Balai Polis Inanam, IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Kerjasama, keprihatinan dan bantuan daripada orang ramai amat dihargai dalam usaha mengesan remaja berkenaan,” menurut kenyataan itu.






