SIFT Sasar Pentas Dunia, Sabah Mahu Jadi Destinasi Utama Sport Tourism Memancing

SIFT Sasar Pentas Dunia, Sabah Mahu Jadi Destinasi Utama Sport Tourism Memancing

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan sukan memancing sebagai produk pelancongan khusus bertaraf antarabangsa dengan Sabah International Fishing Tournament (SIFT) bakal diperkasakan sebagai antara kejohanan utama bagi menarik pemancing dan pelancong dari seluruh dunia ke negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kekayaan biodiversiti marin, kawasan pantai yang luas serta pulau-pulau yang menjadi tarikan pelancong memberikan Sabah kelebihan besar untuk muncul sebagai destinasi niche Sport Tourism khususnya dalam segmen sukan memancing.

Katanya, SIFT mempunyai potensi untuk menjadi platform penting dalam memperkenalkan kelebihan berkenaan kepada pasaran antarabangsa.

“SIFT bukan sekadar sebuah pertandingan memancing. Kita mahu menggunakan platform ini untuk memperkenalkan Sabah sebagai destinasi Sport Tourism, khususnya dalam sukan memancing, kepada dunia.

Sabah mempunyai kawasan pantai yang luas, pulau-pulau yang indah, biodiversiti marin yang kaya serta kawasan perairan yang sangat sesuai untuk aktiviti memancing.

“Semua ini merupakan aset yang boleh kita manfaatkan untuk membangunkan segmen pelancongan khusus yang mempunyai pasaran tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sabah International Fishing Tournament (SIFT) 2026 di Sutera Marina, Sutera Harbour Resort, di sini, semalam.

Jafry berkata, usaha mengangkat sukan memancing sebagai produk pelancongan bukan sahaja berpotensi meningkatkan ketibaan pelancong, malah mampu menghasilkan limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan, pengusaha bot, peruncit peralatan memancing serta komuniti tempatan.

SIFT 2026 yang kembali dianjurkan selepas kali terakhir berlangsung pada 2018 berjaya menarik penyertaan 195 pemancing berdaftar membabitkan 21 bot, dengan keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM47,800, selain trofi dan barangan cenderamata.

Bagi Kategori Seahawk, Edmond Asiin muncul juara selepas mencatat tangkapan seberat 16.1 kilogram, diikuti Ahmadul Bill Tahir di tempat kedua dengan 15.6 kilogram dan Adrian Jolimu di tempat ketiga dengan 15.1 kilogram.

Larry Lo menduduki tempat keempat dengan tangkapan 11.9 kilogram, manakala Hirman Ladjaharun di tempat kelima dengan 8.7 kilogram.

Dalam Kategori Berpasukan pula, Team Target On dinobatkan sebagai juara dengan jumlah tangkapan keseluruhan 50.3 kilogram, mengatasi Team KK Lau 2 di tempat kedua dengan 44.8 kilogram dan Team Combat Angler di tempat ketiga dengan 37.2 kilogram.

Jafry turut menegaskan usaha menjadikan Sabah sebagai destinasi sukan memancing antarabangsa perlu dilaksanakan seiring dengan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber marin negeri.

Menurutnya, komuniti pemancing sendiri boleh menjadi rakan strategik kerajaan dengan membantu melaporkan aktiviti mencurigakan, penangkapan ikan secara haram serta kegiatan yang boleh mengancam ekosistem marin.

“Kita mahu membangunkan Sport Tourism, tetapi kelestarian sumber marin Sabah tidak boleh dikompromi.

“Pemancing yang bertanggungjawab juga boleh menjadi antara duta terbaik dalam usaha melindungi khazanah marin kita,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Sabah Anglers Association (SAA), khususnya Setiausahanya merangkap Pengerusi Penganjur SIFT 2026, Christy Justinus, selain jawatankuasa penganjur, penaja, rakan strategik dan semua pihak yang menjayakan kejohanan berkenaan.

Dalam pada itu, Jafry mengumumkan SIFT 2027 akan berlangsung dari 29 Julai hingga 1 Ogos 2027, sekali gus membolehkan usaha promosi di peringkat antarabangsa dimulakan lebih awal.

“Kita mahu edisi akan datang menjadi lebih besar, lebih tersusun dan lebih bersifat antarabangsa.

“Matlamat kita adalah untuk melihat SIFT berkembang menjadi salah satu kejohanan sukan memancing utama di rantau ini dan pada masa sama mengangkat Sabah sebagai destinasi niche Sport Tourism antarabangsa bagi sukan memancing,” katanya.