Semua ‘Frontliners’ Akan Terima Dos Lengkap Vaksin COVID-19 Menjelang Akhir April Ini

Semua ‘Frontliners’ Akan Terima Dos Lengkap Vaksin COVID-19 Menjelang Akhir April Ini

0
SHARE

PUTRAJAYA – Semua petugas barisan hadapan kesihatan awam dan swasta akan menerima dos pelalian COVID-19 lengkap menjelang akhir bulan ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata ketika ini, ada seramai 62,837 petugas barisan hadapan kesihatan yang belum menerima vaksinasi.

Memetik laporan BH Online, beliau berkata bahawa mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) membincangkan mengenai petugas barisan hadapan kesihatan yang belum diberikan vaksinasi.

“Laporan CITF terima daripada pengarah kesihatan negeri bahawa ada 62,837 petugas barisan hadapan kesihatan yang belum terima vaksinasi. Ia membabitkan anggota perubatan awam dan swasta seperti doktor, doktor gigi, komuniti farmasi, petugas di makmal kesihatan swasta, pemandu ambulans swasta, hospis dan penjagaan paliatif,” katanya pada Sidang Media Mingguan CITF, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Sementara itu, Dr Adham berkata, 18,022 daripada seramai 267,737 petugas barisan hadapan yang sudah menerima dos kedua vaksin COVID-19, adalah doktor dan doktor gigi.vaksin

Justeru, katanya, pihaknya sudah mengarahkan semua pengarah kesihatan negeri utnuk memastikan doktor dan petugas barisan hadapan kesihatan swasta yang sudah menghantar nama dapat menerima dos lengkap menjelang akhir April ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Adham berkata, ketika ini ada 63 hospital dikhususkan untuk rawatan pesakit COVID-19 termasuk tiga hospital universiti, dengan tujuh daripadanya adalah hospital yang merawat pesakit COVID-19 sepenuhnya manakala selebihnya adalah hospital hibrid.

Katanya, jumlah keseluruhan katil khusus untuk rawatan COVID-19 adalah sebanyak 6,775, dengan 2,539 pesakit yang dirawat dan kadar penggunaan 37 peratus.

Katanya, kapasiti katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital COVID-19 seluruh negara adalah 1,146 katil bagi pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19, dengan 660 pesakit sedang menerima rawatan pada kadar penggunaan sebanyak 58 peratus.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 543 katil ICU dikhususkan untuk merawat pesakit COVID-19, pesakit yang disyaki dan berkemungkinan dijangkiti dengan 205 pesakit dirawat ketika ini, menjadikan kadar penggunaan 38 peratus,” katanya.