34,727 Pelancong UK, Ireland Lawat Sabah

34,727 Pelancong UK, Ireland Lawat Sabah

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar (dua dari kanan) menerima naskah Travel Advice daripada Ailsa ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 34,727 pelancong dari United Kingdom (UK) dan Ireland melawat ke Sabah pada tahun lalu.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ailsa Terry, angka itu tidak termasuk pemastautin tetap negara itu yang dianggarkan di antara 200 hingga 300 orang.

Ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin hari ini, beliau berkata pihaknya berhasrat mewujudkan lebih banyak kerjasama merentasi pelbagai sektor yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Saya pernah ke Sabah beberapa tahun lalu ketika saya sampai di Malaysia dan ia antara tempat yang sangat indah.

“Kita ingin mewujudkan lebih banyak kesepakatan, lebih banyak kerjasama di antara UK dan Sabah dalam bidang sains dan biodiversiti.

“Selain itu, kita berbincang untuk meningkatkan pelancongan di antara UK dan Sabah menerusi kerjasama dalam perkara-perkara berkaitan keselamatan, pertahanan dan juga meningkatkan perdagangan serta pelaburan ,” jelas beliau.

Bekas utusan ke Brussels dan Islamabad yang kini fasih berbahasa Melayu itu turut memaklumkan, kunjungannya kepada Tun Juhar adalah untuk menyampaikan naskah Nasihat Perjalanan yang dikeluarkan pihaknya pada September lepas.

Ailsa mula bertugas di negara ini sejak Ogos tahun lepas menggantikan Charles Hay dan beliau turut diiringi Setiausaha Kedua (Politik) Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia Robert Pepper dan Konsul Kehormat British di Sabah, David Powell semasa kunjungan berkenaan. — JABATAN PENERANGAN SABAH