KOTA KINABALU, SABAH – Anak jati Keningau, Ahadin Arinen, 53, yang berpengalaman lebih kurang 27 tahun sebagai pegawai syariah kini dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah.
Majlis penyampaian watikah pelantikan beliau disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, semalam.
Turut menerima watikah pelantikan ialah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah (Ketua Pendaftar), Surayah Ramlee dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah (Tawau), Taherah Tahir.
Pelantikan Ahadin berkuat kuasa 1 November 2023, sementara pelantikan Suraya dan Taherah masing-masing berkuatkuasa pada 19 Jun 2023 dan 16 Oktober 2023.
Majlis tersebut disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd. Arifin Mohd. Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam, Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Datuk Yahya Hussin, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Malaysia, Datuk Amran Mat Zain dan Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MUIS Ramlan Awang Ali.
Sementara itu, Ruslan ketika ditemui media berharap pelantikan tersebut akan dapat memberi kelegaan kepada masyarakat khususnya golongan yang berdepan dengan isu kes tertangguh.
“Harapan kita dengan adanya pelantikan baharu ini mereka telahpun mengisi kekosongan yang berlaku, sudah pasti dengan pelantikan ketua hakim ini dapat menjalankan kes-kes yang tertangguh, dapat melancarkan urusan yang sudah tertangguh selama ini dan ia dapat memberi kelegaan khususnya mereka yang sedang menunggu untuk dibawa dalam kes masing-masing,
“Sudah tentu dengan adanya pelantikan ini juga ada beberapa hakim ada lima semua, maknanya kita baru ada tiga pelantikan dan masih ada dua kekosongan akan diisikan,” ujarnya.
Sementara itu, Ahadin turut mendedahkan lima Mahkamah Tinggi Syariah di Sabah merekodkan 7,466 kes sejak tahun 2020 hingga tahun 2023.
Dalam tempoh terbabit, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Kinabalu merekodkan jumlah kes paling tinggi dengan kes berdaftar sebanyak 5,233 kes diikuti Mahkamah Tinggi Syariah Tawau dengan 2,618 kes, Mahkamah Tinggi Syariah Sandakan (678 kes), Mahkamah Tinggi Syariah Kudat (614 kes) dan Mahkamah Tinggi Syariah Keningau (328 kes). — JABATAN PENERANGAN SABAH