Gelombang Keempat Di Asia Barat Tercetus Akibat Lonjakan Kes Varian Delta COVID-19

Gelombang Keempat Di Asia Barat Tercetus Akibat Lonjakan Kes Varian Delta COVID-19

0
SHARE

KAHERAH, MESIR – Gelombang keempat di Asia Barat tercetus ekoran lonjakan kes penularan jangkitan COVID-19 disebabkan varian Delta dan juga faktor kadar vaksinasi yang masih rendah.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), strain memiliki kebolehjangkitan tinggi yang tercetus di India itu, telah dikesan di 15 daripada 22 negara dan wilayah bawah pemantauannya, dari Maghribi hinggalah ke Pakistan.

“Perebakan varian Delta telah memacu lonjakan kes dan kematian akibat COVID-19 di semakin banyak negara dalam rantau Mediterranean Timur WHO…

“Sebahagian besar kes baharu dan pesakit dimasukkan ke hospital membabitkan mereka yang belum divaksinasi.

“Kita sedang berdepan gelombang keempat penularan COVID-19 di seluruh rantau itu,” kata Pengarah Rantau Mediterranean Timur WHO, Ahmed al-Mandhari, dalam satu kenyataan yang dipetik AFP, malam tadi.

Pengarah Rantau Mediterranean Timur WHO, Ahmed al-Mandhari…

Setakat ini, menurut WHO lagi, hanya 41 juta orang atau 5.5 peratus daripada jumlah penduduk rantau berkenaan, sudah menerima vaksinasi lengkap.

Jangkitan meningkat sebanyak 55 peratus, manakala kematian pula bertambah 15 peratus pada bulan lalu berbanding bulan sebelumnya.

Lebih 310,000 kes dan 3,500 korban direkodkan setiap minggu.

Negara seperti Tunisia yang mencatat jumlah kematian tertinggi akibat COVID-19 di Afrika Utara, terus bergelut mengekang wabak itu.

Masalah kekurangan tangki oksigen dan katil unit rawatan rapi (ICU) yang kritikal, menambah lagi tekanan terhadap keupayaan sistem penjagaan kesihatan di rantau itu.

WHO berkata, penularan varian Delta yang pantas kini menjadikannya ‘strain dominan’ di rantau berkenaan.

Berdasarkan penerbitan dalam jurnal Virological, baru-baru ini, jumlah virus ditemui hasil ujian pertama terhadap pesakit dijangkiti varian Delta, adalah 1,000 kali lebih tinggi berbanding ketika gelombang pertama COVID-19 pada 2020, sekali gus menyaksikan lonjakan besar kadar kebolehjangkitannya.