PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengadakan pertemuan bersama dua parti politik Sabah, bagi membincangkan mengenai pengisian portfolio dalam kabinet Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, beliau akan bertemu dengan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, dan wakil daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN).
Memetik sumber Berita Harian, beliau menyatakan telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg, dan wakil Barisan Nasional (BN) di rumahnya, semalam.
“Perbincangan dengan GPS, semalam, berlangsung dengan baik. Mereka juga mempunyai jawatankuasa kerja serta mengemukakan beberapa cadangan (nama untuk menganggotai Kabinet),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022 bertempat Bangunan Perdana Putra, hari ini.