KOTA KINABALU: Kenyataan formula Barisan Nasional – Pakatan Harapan (BN-PH) membuktikan bahawa UMNO Sabah hilang keyakinan terhadap parti Warisan, kata Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimin.
Justeru itu katanya, beliau mengambil maklum Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu kenyataan berkata formula gandingan BN-PH merupakan formula yang terbaik menghadapi Pilihanraya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17).
“Saya berpandangan kenyataan beliau sekaligus membuktikan UMNO serta BN Sabah telah hilang keyakinan terhadap kerjasama BN dan Warisan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Tegasnya lagi, sebelum ini akar umbi UMNO sendiri pernah menyatakan ketidakselesaan kerjasama dengan Warisan apatah lagi pemimpin parti itu sangat dikenali dengan keangkuhan mereka.
“Kerana keangkuhan itulah kerajaan Sabah ditumbangkan oleh rakyat pada PRN Sabah ke-16 yang lalu walau hanya sempat memerintah selama 28 bulan. Malah parti itu juga hampir diranapkan pada PRU-15 yang lalu,” ujarnya.
Sementara itu, Razeef berkata, berkenaan rakan kerjasama menghadapi PRN-17 Sabah, saya berpandangan kenyataan Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew bahawa keputusan hanya dibuat selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan sangat tepat.
“Sudah tentu PH Sabah memilih pihak yang memberi tawaran terbaik kepada gabungan ini. Namun saya juga berpandangan kerjasama dengan Warisan agak sukar kerana pengalaman pahit dengan Warisan sebelum ini,” katanya.






