Tentera Myanmar Isytihar Darurat Selama Setahun

Tentera Myanmar Isytihar Darurat Selama Setahun

0
SHARE

YANGON, MYANMAR – Tentera Myanmar hari ini, mengisytiharkan DARURAT selama setahun dan melantik Panglima Angkatan Tenteranya, Jeneral Ming Min Aung Hlaing sebagai pemangku Presiden.

Ia diumumkan selepas tentera menahan Kaunselor, Aung San Suu Kyi, Presiden Myanmar, U Win Myin dan pegawai kanan lain pagi tadi.

Aung San Suu Kyi…

Pengumuman di siaran milik tentera, TV Myawaddy, menjelaskan langkah itu perlu bagi menjaga ‘kestabilan’ negara, selain mendakwa suruhanjaya pilihan raya negara itu gagal menangani ‘penyelewengan besar’ dalam pemilihan, pada November lalu.

Pengisytiharan ditandatangani Naib Presiden Pertama, U Myint Swe, yang bertugas sebagai pemangku Presiden, seperti diumumkan di TV Myawady.

Memetik laporan AFP, kenyataan itu juga berkata, kuasa negara akan diserahkan kepada Aung Hlaing.

“Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan (UEC) gagal menyelesaikan penyelewengan daftar pemilih dalam pilihan raya umum yang diadakan pada 8 November 2020,” kata kenyataan yang ditandatangani oleh pemangku Presiden baharu, Myint Swe, yang juga bekas jeneral yang pernah menjadi Naib Presiden.

Kenyataan itu juga menuduh ‘organisasi parti lain’ merosakkan kestabilan negara itu.

“Berikutan keadaan situasi ketika ini perlu diselesaikan mengikut undang-undang maka darurat diumumkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga berkata, tanggungjawab untuk kuasa perundangan, pentadbiran dan kehakiman sudah diserahkan kepada Jeneral Min Aung Hlaing.

Jeneral Min Aung Hlaing…

Suu Kyi, U Win Myint dan beberapa pegawai kanan lain parti pemerintah, Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) ditahan tentera, awal pagi tadi.

Sejak beberapa minggu lalu, tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan parti pemerintah, NLD pimpinan Suu Kyi menang besar.

Myanmar yang baru sedekad keluar selepas hampir 50 tahun diperintah tentera, masih berada di bawah sistem demokrasi dikawal ketat jeneral tentera walaupun pada hakikatnya berkongsi kuasa dengan pentadbiran dipilih rakyat.

Wakil rakyat baharu dijangka bersidang di Parlimen hari ini.

Pemilihan pada November lalu adalah pilihan raya demokratik yang kedua di Myanmar sejak negara itu keluar daripada regim pemerintahan diktator 49 tahun.

Seperti diharapkan, Suu Kyi, tokoh sangat dikenali di Myanmar dan partinya menyapu bersih pemilihan, sekali gus meneruskan pentadbiran mereka selama lima tahun lagi.

Bagaimanapun, tentera mendakwa terdapat 10 juta kes penipuan pemilih di seluruh negara dan mahu siasatan diadakan serta menuntut pelepasan daftar pemilih dari suruhanjaya pilihan raya bagi tujuan pengesahan.