GEORGETOWN – Sekurang-kurangnya 15 buruh binaan tertimbus, dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, dua lagi pekerja berjaya diselamatkan.
Menurut laporan BH Online, Jurucakap Pusat Gerakan dan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dipetik berkata bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.57 pagi dan sampai di lokasi kejadian 15 minit kemudian.
“Sekurang-kurangnya 15 mangsa dipercayai tertimbus, manakala dua berjaya diselamatkan.
“Kecerunan tanah dianggarkan setinggi 10 meter. Kita sudah memulakan operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya.
Seramai 30 anggota bomba dari Balai Jalan Perak, Paya Terubong dan Bandar Perda berada di lokasi ketika ini.
Difahamkan, identiti mereka yang tertimbus masih belum dikenal pasti.