JKDM Rampas Tiga Kontena Berisi Bir Bernilai Lebih RM1 Juta Termasuk Cukai

JKDM Rampas Tiga Kontena Berisi Bir Bernilai Lebih RM1 Juta Termasuk Cukai

0
SHARE
Kastam
Nasir (dua kanan) memeriksa bahan rampasan

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menggagalkan cubaan menyeludup masuk tiga kontena berisi bir, dianggarkan bernilai RM1,040,300 selepas cukai, di Pelabuhan Sepanggar, di sini.

Rampasan pada Jumaat lalu dilakukan sepasukan anggota Cawangan Siasatan Khas RMC dengan kerjasama Cawangan Eksport Import Pelabuhan Sepanggar dan Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu.

Ketua Penolong Pengarah Kastam Sabah Mohd Nasir Deraman berkata berdasarkan penilaian risiko dan imej mesin pengimbas, sebuah pasukan bertindak menyerbu pada jam 10.30 pagi.

“Sejumlah 23,868 liter pelbagai bir bernilai RM85,760 dan cukai bernilai RM348,290 dalam kontena pertama.

“Lima belas minit kemudian, pasukan itu menahan sebuah lagi kontena yang turut disyaki melakukan kesalahan sama. Ia mengandungi 22,176 liter bir bernilai RM84,040 dengan nilai cukai RM343,816,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan.

Nasir berkata kemudiannya pada jam 11 pagi pada hari sama, satu lagi kontena berisi 23,868 liter bir bernilai RM85,769 dan cukai dianggarkan RM348,290 turut dirampas.

“Modus operandi bagi ketiga-tiga kes ialah membuat pengisytiharan palsu dalam usaha memperdaya pihak berkuasa.

“Antara barangan yang diisytiharkan ialah pencetak, wayar bertebat, perabot kayu, meja makan, aksesori komputer mesin jahit, peralatan makan ayam dan perabot simen gentian untuk tujuan penyeludupan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.