KOTA KINABALU, SABAH – Warga Kinabatangan bakal menikmati beberapa fasiliti baharu antaranya dewan serbaguna dan pasar awam.
Pegawai Daerah Kinabatangan, Willey Lampaki berkata, selain dewan dan pasar awam, fasiliti lain yang turut sedang dibangunkan adalah pusat pelupusan sampah dan ketiga-tiga kemudahan ini dijangka siap pada 2025.
“Setakat ini, pembangunan kalau berbanding dengan dulu memang amat menggalakkan.
“Dewan serbaguna yang baharu kapasiti lebih kurang seribu orang berbanding yang lama tampungan lebih kurang 500 orang dan dilengkapi bangku, meja, pentas serta penyaman udara.
“Untuk pasar awam pula, kelebihan berbanding pasar yang sebelum ini dari segi kemudahan parkir, susun atur yang begitu lengkap sekali dan boleh memuatkan 60 peniaga manakala fasiliti pusat pelupusan sampah pula yang boleh menampung untuk beberapa tahun.
“Projek-projek ini masing-masing bernilai RM6 juta untuk dewan, RM5 juta untuk pasar awam dan RM3 juta untuk pelupusan sampah,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.
Menurut Willey yang juga Pengerusi Majlis Daerah Kinabatangan, kunjungan berkenaan bertujuan untuk memberi penerangan kepada Tun Juhar kedudukan daerah Kinabatangan dari segi pembangunan, keselamatan dan sebagainya.
Beliau turut memaklumkan pihak Majlis Daerah Kinabatangan kini sedang mengemaskini kertas kerja berkenaan Pekan Baharu Kinabatangan untuk dibentangkan kepada sidang Jemaah Menteri dalam waktu terdekat.
“Antara kemudahan yang dicadangkan untuk Pekan Baharu Kinabatangan ini termasuklah rumah kakitangan majlis, hotel, kedai-kedai, pejabat baharu dan masjid.
“Pembangunan ini akan dapat mengubah satu corak kehidupan baharu untuk warga Kinabatangan, menarik pelancong dari luar negara sekali gus menjana kewangan untuk penduduk setempat,” tambah Willey. — JABATAN PENERANGAN SABAH